PUTRAJAYA: Seramai 3.9 juta warga digital Malaysia diyakini mampu mempelopori kaedah pembayaran tanpa tunai, sekali gus mendorong para peniaga lain untuk menggunakan kaedah pembayaran seperti ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, warga digital itu meliputi 13.4 peratus penduduk negara ini iaitu golongan muda berumur antara 15 hingga 24 tahun yang menggunakan internet secara aktif sekurang-kurangnya lima tahun, mengikut definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut beliau, Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (ITU) meletakkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai warga digital tertinggi di dunia, justeru peranan mereka sangat penting dalam menjayakan usaha pendigitalan di negara ini.
“Kerajaan sentiasa menyokong rakyat dan perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengendalikan perniagaan dalam era digitalisasi, yang mana transaksi pembayaran dibuat secara dalam talian atau tanpa tunai.
“Laporan Bank Negara Malaysia (Bank Negara) menunjukkan transaksi e-wallet pada tahun lalu meningkat sebanyak 131 peratus kepada 600 juta transaksi. Lebih banyak peniaga mendaftar untuk menerima pembayaran melalui QR Code, dengan bilangan pendaftaran meningkat lebih dua kali ganda pada akhir tahun lalu,” katanya ketika berucap merasmikan program e-Belia secara maya hari ini.
Program e-Belia merupakan inisiatif Belanjawan 2021 yang ditambah baik melalui program PEMERKASA, yang mana nilai kredit ditingkatkan dari RM100 ke RM150 bagi setiap penerima dengan dipadankan oleh penyedia e-dompet melalui pelbagai inisiatif tambahan seperti baucar, pulangan tunai (cashback) dan reward points.
Dengan peruntukan sejumlah RM300 juta, program itu dijangka memanfaatkan dua juta rakyat Malaysia berumur 18 ke 20 tahun, serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa sekali gus mendorong perniagaan, terutamanya perusahaan mikro dan PKS untuk mula menerima kaedah pembayaran tanpa tunai.
Justeru, Muhyiddin berkata, para belia diharapkan mengambil peluang itu untuk menyokong para usahawan tempatan yang kebanyakannya dalam kalangan mereka sendiri.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, bagi belia yang ingin menceburkan diri dalam dunia perniagaan, kerajaan menyediakan pelbagai peruntukan dana, termasuk yang berfokus kepada mendorong peniaga-peniaga menerapkan elemen digital dalam operasi perniagaan masing-masing seperti Dana Automasi dan Digital yang dikelolakan Bank Negara.
“Dengan perubahan norma hidup ekoran pandemik Covid-19, kita dapat lihat pelbagai aspek kehidupan harian kita secara sedar dan tidak disedari telah beralih kepada pendigitalan dan juga automasi.
“Seiring dengan matlamat Belanjawan 2021 untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan awam, kerajaan mula menerapkan aspek digitalisasi dalam pelbagai urusannya, dengan sasaran pembayaran tanpa tunai bagi semua perkhidmatan kerajaan menjelang tahun depan iaitu pada tahun lepas, sebanyak 60 peratus daripada jumlah kutipan kerajaan adalah melalui kaedah e-payment,” katanya. – UTUSAN ONLINE