PUTRAJAYA: Jumlah pemberian vaksin Covid-19 merekodkan 3,107,218 dos setakat semalam dengan tambahan 98,789 dos hanya dalam tempoh sehari.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jumlah yang menerima dos pertama ialah 2,002,345 orang, manakala dos kedua sebanyak 1,104,873 orang telah menerima dos kedua.
Menurut beliau, jumlah pendaftaran vaksin menerusi MySejahtera pula mencatatkan 12,414,513 orang iaitu peningkatan kepada 51.2 peratus.
Mengikut statistik dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV), setakat ini sembilan negeri sudah mencapai lebih 50 peratus pendaftaran daripada jumlah populasi penduduk iaitu Johor (53.3 peratus), Kuala Lumpur (69 peratus), Labuan (56 peratus), Melaka (54 peratus), Negeri Sembilan (56 peratus), Pulau Pinang (58 peratus) Putrajaya (100 peratus) Selangor (67 peratus) dan Sarawak (59 peratus).
Dua negeri merekodkan paling rendah pendaftaran iaitu Sabah 19 peratus dan Kelantan 34 peratus.- UTUSAN ONLINE