PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam merekodkan 946 individu dkesan semalam dengan seramai 924 dikompaun manakala 22 lagi direman.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan tertinggi masih lagi tidak memakai pelitup muka dengan 237 kes diikuti merentas kawasan dan makan di premis iaitu 186 kes, gagal merekod butiran diri (160), tiada jarak fizikal (156), tidak patuh arahan PKP (71), membawa penumpang berlebihan (63), premis langgar peraturan (14) dan lain-lain (59).
“Seramai 18 pendatang tanpa izin dan lima buah kenderaan darat turut disita semalam melalui Operasi Benteng selain sebanyak 105 bot atau kapal yang dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara kita melalui 10 aktiviti pemantauan oleh pasukan keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, seramai 614 individu tiba di tanah air semalam dengan semua diarah kuarantin wajib bersama sejumlah 8,541 individu terbabit masih lagi menjalani perintah itu selain 2,361 individu dibawa ke hospital, manakala 207,149 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 620 peruncit, 155 pemborong dan 31 pengilang termasuk melakukan sejumlah 1,580 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya satu premis terlibat yang dikenakan kompaun.
Beliau juga mengesahkan, lapan orang daripada 84 pekerja asing yang disaring didapati positif Covid-19. – UTUSAN ONLINE