PUTRAJAYA : Jabatan Imigresen (JIM) menahan 229 orang warga asing dalam Op Patuh di sebuah kilang pelupusan besi di Meru Klang, Selangor, hari ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua warga asing ini terdiri 99 warga India, 88 (Bangladesh), 33 (Pakistan), lima (Myanmar), tiga (Indonesia) dan seorang Nepal berumur antara 22 tahun hingga 45 tahun.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati kilang ini melanggar dan tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Bukan itu sahaja, kilang ini juga turut melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen iaitu menggunakan tenaga kerja warga asing yang tiada dokumen dan tinggal lebih masa,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, kilang tersebut turut dikenakan tindakan kompaun RM10,000 oleh Polis Diraja Malaysia kerana melanggar SOP PKP dan kompaun JTK sebanyak RM20,000 kerana gagal mematuhi SOP PKP bagi pengurusan tempat kerja.
Katanya lagi, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan menyorok di ruang-ruang timbunan besi ketika operasi dijalankan namun semua cubaan itu berjaya digagalkan oleh pegawai operasi.
“Antara kesalahan imigresen yang dikenal pasti ialah tidak memiliki dokumen perjalanan sah, menyalahgunakan pas dan tinggal lebih masa.
“Kesemua tahanan akan dibawa menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan di atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” tegasnya.
Menurutnya lagi, operasi yang dijalankan pada pukul 11 pagi itu disertai kekuatan seramai 90 orang pegawai imigresen dengan dibantu oleh seramai 35 orang pegawai penguat kuasa dari PDRM, JTK, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Pendaftaran. -UTUSAN ONLINE