2,082 syarikat berdaftar sertai PIKAS - Utusan Malaysia

2,082 syarikat berdaftar sertai PIKAS

MOHAMED Azmin Ali (kiri) ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS di Mount Austin, Johor Bahru di Johor, hari ini. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 2,082 syarikat melibatkan pelbagai sektor ekonomi di seluruh negara telah berdaftar untuk mengikuti Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) setakat Rabu lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jumlah itu melibatkan seramai 301,050 pekerja.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 255 syarikat berdaftar adalah yang beroperasi di Johor dengan penglibatan seramai 14,357 pekerja.

“Dalam masa sama, kita juga mengingatkan kesemua majikan terlibat agar tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pekerja yang mendapatkan suntikan vaksinasi di kemudahan berkenaan.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana syarikat yang didapati melakukan kesalahan tersebut kerana perkara itu telah termaktub sebagai syarat kepada mana-mana syarikat yang mahu menyertai PIKAS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS di Mount Austin, di sini hari ini.

PPV PIKAS di Mount Austin dijangka mula beroperasi pada 28 Jun ini dengan seramai 1,500 individu akan divaksin pada hari pertama sebelum ditambah secara berperingkat kepada seramai 4,500 sehari.

Azmin berkata, inisiatif PIKAS merupakan satu kaedah yang akan melengkapi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) khususnya bagi sektor swasta.

Jelasnya, sebagai permulaan PIKAS akan menumpukan kepada empat buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Sarawak dan Johor.

“Empat negeri ini dipilih kerana terdapat aktiviti ekonomi yang pesat khususnya dalam sektor perkilangan dan pembuatan.

“Kerajaan menyambut baik kesediaan sektor swasta untuk terlibat sama menjayakan PICK bagi membantu kerajaan mencapai sasaran imuniti berkelompok, ini juga penting kerana golongan pekerja dalam sektor swasta merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara,” ujarnya.

Sementara itu, Azmin turut memberitahu, PPV Industri di projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang akan menyaksikan seramai 5,123 pekerja Petronas divaksin. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya