MELAKA: Lebih 500 ekor haiwan di Zoo Melaka di sini termasuk Harimau Malaya yang menjadi khazanah negara diancam kekurangan bekalan makanan selepas lokasi pelancongan itu ditutup sejak tahun lalu kerana pandemik Covid-19.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, setakat ini pihaknya telah menyalurkan bantuan awal bekalan makanan melibatkan sebanyak 20 tan sayur-sayuran serta buah-buahan.
Katanya, bantuan itu telah diberikan secara berperingkat dibawah Program MAFI Prihatin menerusi kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Sejak bulan lalu MAFI Prihatin telah menyalurkan sebanyak 20 tan bekalan makanan secara berperingkat menerusi tiga kali penghantaran ke Zoo Melaka.
“Kita tahu tempat rekreasi ini tidak lagi mampu menjana pendapatan untuk menampung kos operasi kira-kira RM60,000 sebulan dan kerana itu kementerian menyalurkan mana-mana yang terdaya bagi membantu,” katanya pada sidang akhbar di Zoo Melaka, Ayer keroh di sini, hari ini.
Katanya, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) juga akan membantu membekalkan keperluan daging dan ayam mengikut diet yang sesuai untuk haiwan-haiwan berkenaan.
Tambahnya, turut serta menyalurkan bekalan makanan bersama-sama pada hari ini adalah badan bukan kerajaan (NGO) Bilal Muda.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Shadan Othman berkata, Zoo Melaka hanya sempat beroperasi selama enam bulan sahaja sejak tahun lalu sehingga kini.
“Sejak penutupan tahun lalu, Zoo Melaka menanggung perbelanjaan beban kos operasi RM60,000 sebulan dengan RM250,000 merupakan kos untuk bekalan makanan.
“Haiwan-haiwan di sini tidak boleh dicatu makanannya kerana mereka mempunyai diet pemakanan masing-masing yang dijaga oleh pakar veterinar,” katanya.
Ujarnya, susulan itu pihaknya juga telah melancarkan Tabung Sumbangan Zoo Melaka sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu dah sehingga kini berjaya mengumpul kira-kira RM200,000. – UTUSAN ONLINE