2 wanita rugi RM22,800 ditipu individu menyamar wakil Telekom Malaysia - Utusan Malaysia

2 wanita rugi RM22,800 ditipu individu menyamar wakil Telekom Malaysia

NOORZAINY MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seramai dua wanita di sini mengalami kerugian RM22,800 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia (TM) dalam dua kejadian berasingan semalam. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kes pertama melibatkan seorang kerani syarikat swasta berusia 55 tahun dari Mak Mandin dekat sini melibatkan kerugian sebanyak RM17,800. 

Menurut beliau, mangsa pada mulanya menerima panggilan telefon individu yang menyamar sebagai wakil TM yang memaklumkan namanya telah digunakan bagi pendaftaran internet secara tidak sah. 

Selepas menafikan perkara itu tambahnya, panggilan mangsa disambungkan kepada individu lain yang mendakwa pegawai polis di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Seremban. 

“Wanita itu kemudian didakwa turut terlibat dengan kes penipuan wang haram dan akaunnya digunakan untuk menyimpan wang berkenaan. 

“Mangsa kemudiannya mengikut arahan suspek untuk memindahkan wang miliknya ke dalam akaun bank yang diberikan kononnya bagi membersihkan namanya daripada rekod polis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Sementara itu menurut Noorzainy, kes kedua pula membabitkan guru berusia 50 tahun yang terjerat dengan modus operandi sama yang digunakan sindiket Macau Scam terbabit melibatkan kerugian RM5,000. 

“Dalam kes ini, mangsa didakwa terlibat dengan sindiket judi online menerusi akaun telefon yang didaftarkan menggunakan namanya. 

“Ketika disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai polis, mangsa dimaklumkan pula terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan diminta menyerahkan nama dan kata laluan akaun perbankan internet,” katanya. 

Tambahnya, mangsa yang panik memberikan maklumat akaun Bank Islam dan bertindak memindahkan RM5,000 daripada Tabung Haji (TH) ke akaun terbabit untuk diserahkan kepada polis bagi siasatan lanjut. 

“Mangsa hanya sedar ditipu apabila mendapati wang terbabit telah dipindahkan ke akaun bank individu lain yang tidak dikenali,” katanya. 

Tambahnya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya