PUTRAJAYA: Sebahagian besar daripada 154 kluster baharu kes positif wabak Covid-19 yang direkodkan sepanjang minggu lalu melibatkan mereka dijangkiti di tempat kerja sendiri.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, 107 kluster tempat kerja dicatatkan sepanjang minggu epidemiologi ke-23 berbanding 92 kluster dilaporkan sebelumnya itu.
“Ia mewakili 69.5 peratus diikuti 32 kluster komuniti, enam kluster grup berisiko tinggi serta masing-masing tiga kluster institusi pendidikan, keagamaan dan pusat tahanan,” katanya dalam sidang akhbar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang turut disertai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin di sini hari ini.
Dalam masa sama ujar Dr. Adham, sebanyak 60 kluster berkaitan perayaan direkodkan dari 13 Mei hingga 10 Jun lalu di seluruh negara kecuali Perlis dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Ia katanya, membabitkan 58 kluster Hari Raya Aidilfitri dan baki dua lagi Hari Gawai dengan Sabah paling tertinggi iaitu 11 kluster tersebut diikuti Sarawak (lapan) dan Kedah (tujuh).
Menyentuh PICK yang dilancarkan sejak akhir Februari lalu, beliau memaklumkan bahawa kesan mudarat akibat vaksin berkenaan hanya merekodkan 29.3 daripada setiap 1,000 dos.
“Sehingga 12 Jun lalu, Agensi Regulatori Farmaseutikal Nasional (NPRA) menerima banyak laporan kesan sampingan antaranya kebas di tempat suntikan dan sakit kepala,” katanya.
Bagaimanapun ujarnya, hanya 0.09 daripada setiap 1,000 dos vaksin yang diklasifikasikan sebagai amat serius dan perlu segera dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.
Sebilangan besar mereka pula jelas beliau, hanya bersifat kemasukan jangka pendek serta boleh discaj dari wad setelah mendapatkan pemerhatian susulan dan rawatan bersesuaian.
Mereka dengan mengalami kesan berkenaan kata Dr. Adham, boleh memohon Tabung Mudarat Vaksinasi yang diwujudkan khas oleh pihak kerajaan termasuk sekiranya ada kes kematian.
Namun tambah beliau, penilaian akan dibuat terlebih dahulu oleh tiga peringkat jawatankuasa iaitu induk, teknikal dan farmakovigilans bagi memastikan ia memang berpunca akibat vaksin.
“Pihak NPRA juga sentiasa melakukan pemantauan teliti ke atas semua vaksin Covid-19 yang berdaftar dalam PICK agar imunisasi dilakukan selamat untuk rakyat Malaysia,” tegas beliau.
Sepanjang minggu lalu, sebanyak 786,982 dos dilaksanakan dengan secara purata 112,426 dos setiap hari iaitu menokok 26 peratus berbanding minggu epidemiologi ke-22 sebelumnya.
Dari segi pendaftaran baharu pula menyaksikan 1,064,635 individu pada minggu lepas atau purata 151,091 individu setiap hari iaitu melonjak 47 peratus daripada minggu sebelum itu.- UTUSAN ONLINE