PADANG RENGAS: Pelajar yang tergolong dalam isu rumah B40 akan menerima 12,000 hingga 15,000 telefon pintar sumbangan Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) sehingga akhir bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, ia bertujuan untuk memudahkan pelajar tersebut mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang bermula hari ini.
“Penyerahan telah dimulakan pada Jumaat lepas yang mana kita masuk ke Parlimen Kuala Kangsar dan kita serahkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan dan DUN Manong.
“Hari ini kita masuk ke Parlimen Padang Rengas pula untuk diserahkan ke DUN Lubok Merbau dan DUN Chenderoh dan esok akan diteruskan penyerahan kesemua pusat khidmat DUN di Perak,” katanya.
Ahmad Saidi berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan 150 telefon pintar di bawah inisiatif TCS kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lubok Merbau, Dr. Jurij Jalaludin untuk diedarkan kepada pelajar sekolah B40, di sini, semalam.
Menurut Ahmad Saidi, pengagihan telefon pintar itu akan dilaksanakan secara sama rata membabitkan 250 buah telefon pintar dengan melibatkan 59 pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di dalam dua fasa.
“Kerajaan Perak bersetuju menyampaikan telefon pintar ini melalui kaedah kepada semua pusat khidmat DUN, tak kira ADUN kerajaan mahupun pembangkang.
“Sehingga hari ini dianggarkan sebanyak 600 hingga 650 buah telefon pintar sudah diedarkan di empat DUN dan kita sasarkan hujung bulan ini semua pengagihan akan selesai bagi fasa pertama,” katanya.
Ahmad Saidi turut mengingatkan pelajar sekolah yang menerima telefon pintar tersebut agar menggunakannya bagi PdPR memandangkan ia hanya sesuai digunakan untuk tujuan pembelajaran.
“Telefon pintar ini tidak sesuai digunakan untuk tujuan permainan atas talian kerana sistem dan kapasitinya tidak mampu menampung aplikasi-aplikasi berkenaan.
“Justeru saya menyarankan kepada semua pelajar ataupun ibu bapa yang menerima pakej rangsangan telefon pintar dengan kad sim percuma daripada program TCS untuk menggunakannya sebaik mungkin untuk tujuan PdPR serta tuisyen atas talian yang disediakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE