14 dikompaun hari pertama sekatan pergerakan penuh di PD - Utusan Malaysia

14 dikompaun hari pertama sekatan pergerakan penuh di PD

AIDI Sham Mohamed menyantuni pengunjung ketika mengadakan Op SOP di sebuah pasar raya di Port Dickson, hari ini.FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICSKON: Masih ada lagi individu yang masih berdegil dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh telah dilaksanakan sejak semalam.

Di daerah ini, sebanyak 14 kompaun dikeluarkan pihak polis semalam dengan kesalahan utama dilakukan individu terlibat adalah gagal memakai pelitup muka di tempat awam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, kesalahan lain termasuklah tidak membuat imbasan kod MySejahtera serta merentas daerah tanpa surat kebenaran yang sah.

“Dalam masa satu hari sahaja, ada 14 individu dikompaun di Port Dickson dan ini satu peningkatan mendadak dengan orang ramai masih melanggar SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kesalahan yang paling ketara adalah tidak memakai pelitup muka dengan alasan diberikan termasuk terlupa dan sebagainya sedangkan PKP fasa pertama telah dilaksanakan sejak setahun lalu bermula 18 Mac 2020 tetapi ada segelintir pihak yang masih mengambil sikap sambil lewa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan kepatuhan SOP di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Jelas Aidi Sham, kesemua 14 individu tersebut telah dikompaun sebanyak RM1,500 seorang dalam operasi yang dijalankan oleh Pasukan Pematuhan SOP PKP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

Dalam pada itu, Aidi Sham menegaskan supaya masyarakat tidak menjadikan kawasan di pantai Port Dickson sebagai tempat bersantai sepanjang fasa PKP.

“Kami masih melakukan pemantauan secara berterusan di kawasan pantai di mana dalam tempoh 10 hari lalu bermula 21 hingga 31 Mei lalu sebanyak 75 kompaun telah dikeluarkan di seluruh Port Dickson dengan 14 kompaun di kawasan pantai atas pelbagai kesalahan SOP.

“Kebanyakan kesalahan di pantai adalah tidak memakai pelitup muka, ada yang bersantai dan berdua-duaan, malah, pemeriksaan juga mendapati ada individu yang datang ke pantai Port Dickson dengan melakukan kesalahan rentas daerah serta rentas negeri,” katanya yang memberitahu tindakan tegas diambil terhadap mereka.

Beliau berkata, kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan (No 4) (Pindaan) (No 16) 2021.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak keluar rumah kecuali atas urusan penting atau kecemasan dan hanya membeli barang keperluan di kedai serta pasar raya berhampiran dalam radius 10 kilometer dari tempat kediaman.

“Diingatkan juga kepada individu yang keluar bekerja adalah bagi sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi oleh MKN dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya