Mohon buka kedai percetakan - Utusan Malaysia

Mohon buka kedai percetakan

Sharifah Diana Syed Ali (kiri) dibantu oleh seorang pekerjanya untuk menyusun bahan-bahan cetakan yang dipesan oleh pelanggannya ketika berada di dalam premis perniagaannya di Pekan Baling, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING : Peniaga kedai percetakan mohon agar kerajaan membenarkan mereka beroperasi memandangkan ramai pelanggan memerlukan pelbagai dokumen rasmi dan bahan untuk urusan harian mereka.

Sharifah Diana Syed Ali, 37, berkata, setiapa hari ramai pelanggan menghubunginya dan suami, Syed Mohd Safi Syed Mahadir, 40, untuk mendapatkan khidmat mencetak beberapa dokumen penting seperti salinan kad pengenalan, surat kebenaran merentas negeri, latihan-latihan untuk pelajar sekolah dan pelbagainya lagi.

“Saya faham perniagaan ini bukan satu keperluan yang utama ketika PKP ini tetapi mohon agar ia boleh dibuka secara minimum sekurang-kurangnya hanya 20 peratus sahaja untuk pelanggan datang dan tinggalkan bahan untuk cetakan kemudian datang semula mengambilnya apabila siap semua dokumen yang dicetak.”

“Saya telah mengamalkannya sejak setahun yang lalu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan pelanggan tidak dibenarkan masuk ke dalam premis, kebanyakan tempahan kami terima melalui Whatsapp atau -emel dan mereka menghantar bahan melalui aplikasi tersebut dan datang mengambilnya apabila siap,” kata Sharifah Diana ketika ditemui di Pekan Baling, hari ini.

Menurutnya, mereka telah mengemukakan surat permohonan kebenaran menjalankan perniagaan ini kepada Majlis Daerah dan mohon agar cadangan ini dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana merasakan ia adalah satu keperluan dan penting untuk rakyat.

Tambahan pula bagi penduduk luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan untuk mencetak manakala talian internet atau telefon juga bermasalah, ia adalah satu keperluan untuk mereka menyelesaikan urusan dokumentasinya.

“Sebelum ini kami ada membukanya (hanya pintu kecil) atas kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk urusan percetakan dan ramai juga waris dan ibu bapa, pelajar dan juga guru-guru yang datang untuk mencetak bahan bacaan dan latihan mereka tetapi kini kami tidak boleh menerima tempahan lagi kerana diarahkan tutup serta merta oleh Majlis Daerah.”

“Peniaga-peniaga kecil dan peniaga atas talian juga ramai yang minta untuk cetak pelbagai bahan yang perlu disediakan ketika menjalankan perniagaan termasuk pekerja-pekerja yang mahu cetak borang-borang Perkeso, salinan penyata bank dan sebagainya, inilah yang kami mohon agar perniagaan jenis ini dibenarkan beroperasi secara minima untuk membantu orang awam,”

Katanya lagi, mereka mahu masalah ini diketengahkan kepada pihak atasan bagi membenarkan perniagaan ini dijalankan.

Sepanjang tempoh PKP ini juga mereka mengalami kerugian hampir 90 peratus kerana terpaksa menutup operasi kedai sedangkan sewaan kedai perlu dibayar dan gaji pekerja perlu dibayar.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya