GEORGETOWN: Seluruh penduduk Pulau Pinang khususnya masyarakat Islam diseru supaya segera mengambil vaksin Covid-19 demi memelihara keselamatan diri masing-masing seperti yang diwajibkan oleh agama Islam.
Mufti negeri, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, pengambilan vaksin Covid-19 adalah sesuai dengan matlamat syariah untuk memelihara kemaslahatan iaitu melindungi nyawa manusia.
Di samping itu jelas beliau, agama Islam juga menghendaki umatnya mengambil kira pandangan yang diberikan oleh golongan pakar mengenai sesuatu isu yang berkaitan dengan bidang pengkhususan masing-masing.
“Para pakar kesihatan mengakui vaksinasi adalah langkah terbaik bagi membendung penularan wabak termasuklah Covid-19.
“Sehubungan itu, Jabatan Mufti Pulau Pinang mengajak seluruh rakyat agar segera mengambil vaksin Covid-19 tanpa sebarang keraguan lagi demi memelihara keselamatan diri sendiri dan orang lain daripada jangkitan wabak berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Di Pulau Pinang setakat semalam, seramai 827,135 daripada kira-kira 1.3 juta atau hampir 60 peratus penduduk sudah mendaftar untuk menerima suntikan Covid-19.
Daripada jumlah itu, seramai 96,757 orang atau kira-kira tujuh peratus sudah menerima suntikan vaksin masing-masing setakat semalam.
Bagaimanapun, kadar suntikan vaksin itu dijangka meningkat bermula bulan ini apabila negeri ini bakal menerima vaksin dalam jumlah besar menerusi Program Imunisasi Covid-19 (PICK) dengan jangkaan antara 1,000 hingga 3,000 suntikan sehari. – UTUSAN