KUANTAN: Jabatan Perikanan negeri melepas 113,200 benih ikan air tawar pelbagai spesies bagi meningkatkan stok ikan di perairan Pahang, semalam.
Program pelepasan benih ikan air tawar terpilih dilaksanakan sepanjang tahun membabitkan semua daerah dan negeri.
Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, usaha tersebut dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan daerah Lipis, Raub dan Pekan.
“Sebanyak 28,300 benih ikan kerai, baung dan lampam sungai telah dilepaskan di perairan Tasik Chini, Pekan, manakala 28,000 benih di Raub.
“Selain itu, selebihnya kira-kira 56,900 benih ikan dilepaskan di Sungai Jelai, Kampung Telang dan Sungai Telang, Kampung Lubuk Kulit serta Sungai Lipis, di Kampung Jeram Besu yang sememangnya terkenal dengan ikan air tawar di Kuala Lipis,” katanya di sini.
Abdullah berkata, pelaksanaan projek tersebut melalui pertambahan benih dapat membantu khususnya nelayan menambahkan sumber pendapatan mereka,
“Dalam tempoh 10 tahun, Jabatan Perikanan negeri telah melepaskan kira-kira 12.8 juta benih pelbagai spesies ikan dan udang galah ke perairan negeri ini.
“Diharap nelayan darat, masyarakat setempat dan peminat aktiviti memancing dapat memanfaatkan sumber ini selepas program pelepasan benih ikan dan udang galah dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh terdekat ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE