PUTRAJAYA: Mana-mana majikan yang ingkar penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berhubung 40 peratus pekerja sektor swasta untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) akan dikenakan tindakan tegas termasuk diarah tutup serta merta.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pihaknya sudah menggerakkan pegawai penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi mengesan syarikat dan majikan yang masih berdegil.
Katanya, ia susulan selepas JTKSM dan JKKP diberi kuasa mengenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) oleh Kementerian Kesihatan (KKM), berkuat kuasa Selasa lalu.
Katanya, syarikat atau premis yang didapati tidak mematuhi arahan BDR dan ingkar prosedur operasi standard (SOP) akan diarahkan tutup serta merta selama tujuh hari dan dikompaun maksimum RM50,000.
“Keputusan ini dibuat berikutan peningkatan ketara jumlah aduan yang diterima melalui aplikasi Working for Workers (WFW) berhubung majikan yang tidak membenarkan pekerja untuk BDR di mana 1,121 aduan diterima sehingga semalam sejak aduan dibuka pada 23 Mei lalu.
“Bagi tempoh 3 Mei sehingga semalam, aplikasi WFW ini menerima sejumlah 1,767 aduan bagi 16 kategori lain. Daripada jumlah ini, aduan membabitkan gaji tidak dibayar dan pembayaran gaji lewat adalah sebanyak 260 kes, pembuangan kerja tanpa notis (73 kes), tiada pembayaran lebih masa dan faedah pemberhentian (68 kes) dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saravanan berkata, Selangor menjadi negeri yang paling banyak jumlah aduan sehingga kini iaitu 580 kes diikuti Kuala Lumpur (511 kes), Johor (223 kes), Pulau Pinang (134 kes).
“Saya menggesa semua majikan untuk mematuhi dan memberikan kerjasama sepenuhnya SOP yang ditetapkan kerajaan terutamanya dalam tempoh yang kritikal ini.
“Ini kerana usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 memerlukan sokongan semua pihak termasuk majikan dan pekerja,” katanya.
Tambahnya, pihaknya juga komited dalam memastikan hak dan kebajikan pekerja terus terpelihara di samping mengambil tindakan segera ke atas isu-isu perburuhan yang dihadapi golongan pekerja.
“Para pekerja dinasihatkan tidak takut untuk terus menyalurkan aduan dan permasalahan yang dihadapi melalui aplikasi WFW dan mengamalkan kawalan kendiri bagi membendung penularan wabak Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE