ARAU : Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyifatkan keperluan menziarahi ibu bapa adalah lebih utama, mengatasi keperluan lain.
Tanpa menyebut nama individu tertentu, Mohd Asri juga menegaskan betapa perlunya seseorang umat Islam menziarahi ibu bapanya melebihi keperluan memenuhi undangan artis.
“Saya rasa, jika hendak dibandingkan, pasti keperluan menziarahi ibu bapa melebihi dari keperluan memenuhi undangan artis,” katanya melalui satu ciapan di Twitter di sini hari ini.
Semalam, pengguna media sosial dilihat mempersoalkan isu kehadiran individu-individu ternama ke majlis tahnik yang diadakan oleh penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Antara yang dapat dilihat hadir pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan tiga penceramah terkenal iaitu Azhar Idrus, Don Daniyal Don Biyajid dan Iqbal Zain.
Bagaimanapun, Siti Nurhaliza hari ini menjelaskan majlis tersebut dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan atur cara majlis serta bilangan tetamu yang hadir mematuhi syarat penganjuran majlis sosial PKPB seperti yang tertakluk pada tempoh lalu.
Kata Siti Nurhaliza dalam satu kenyataan, majlis itu juga terbahagi kepada tiga sesi dengan bilangan tetamu terhad yang dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Mawlid untuk mengambil keberkatan fadhilat sunat mengadakan tahnik.
“Mengenai kami mengundang seorang pendakwah bebas dari negeri lain sebagai tetamu, kami ingin memaklumkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku.
“Sebaliknya, Ustaz Azhar Idrus bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur. Bagi acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Menteri Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka.
“Beliau hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sahaja sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain,” katanya.
Sebelum ini, Siti Nurhaliza menjadi sasaran netizan kerana didakwa gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika majlis itu diadakan.
Seterusnya, netizen juga tidak bersetuju dengan Siti Nurhaliza dan suaminya mengundang pendakwah terkenal yang difahamkan menetap di Terengganu. -UTUSAN ONLINE