Young Syefura kemuka tujuh cadangan bantu mereka yang terkesan PKP 3.0 - Utusan Malaysia

Young Syefura kemuka tujuh cadangan bantu mereka yang terkesan PKP 3.0

YOUNG SYEFURA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kerajaan Pusat dicadang melaksanakan tujuh bantuan dan langkah kewangan  bagi melindungi sektor perniagaan yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0

Mencadangkan demikian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari Young Syefura Othman berkata, selagi mana pelaksanaan PKP dikuatkuasakan secara dua darjat antara golongan kenamaan dan rakyat biasa, dan selagi mana proses vaksinasi begitu perlahan, beliau  menjangka tempoh PKP3.0 kali ini berjalan lebih daripada sebulan.

Justeru beliau mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan moratorium automatik pinjaman bank selama enam bulan untuk golongan B40 dan M40.

Menurut Young Syefura, pada tahun lalu, sektor perbankan masih mencatatkan keuntungan dengan 10 kumpulan bank utama mencatatkan keuntungan sebanyak RM21.6 bilion walaupun selepas memberikan moratorium automatik selama enam bulan dan seterusnya moratorium bersasar.

“Masih untung, walaupun mengalami penurunan. Moratorium automatik pinjaman bank kepada golongan B40 dan M40 secara terus mengurangkan beban kewangan mereka ketika PKP3.0 dan krisis ekonomi sekarang,”ujar beliau menerusi hantaran Facebooknya.

Beliau turut mencadangkan supaya bayaran RM1,000 sebulan kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), termasuk penganggur.

Menurutnya , Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah berjanji untuk menaikkan bantuan bulan JKM daripada antara RM200 hingga RM300 kepada RM1,000.

Jika janji ini dipenuhi dan dilaksanakan segera, ia akan menyediakan jaringan keselamatan segera kepada penerima JKM yang kembali hilang punca pendapatan ketika PKP3.0 dan termasuklah kepada mereka yang menganggur.

Cadang ketiga ADUN DAP itu adalah pemberian komputer riba dan peranti elektronik serta kredit internet kepada pelajar daripada keluarga golongan B40 untuk tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ini kerana katanya, sekolah akan ditutup kembali dalam tempoh PKP3.0 dan PdPR akan kembali.

“Kerajaan perlu menyegerakan pemberian 150,000 komputer riba kepada pelajar secepat mungkin.

“Bantuan dalam bentuk peranti elektronik perlu ditambah kepada 100,000 pelajar lagi bagi memastikan mereka dapat menjalani PdPR dengan baik dan tidak ketinggalan,” ujarnya.

Selain itu beliau turut mencadangkan supaya kerajan memberi bantuan tunai kepada golongan B40 dan M40.

Ini kerana kesan PKP3.0 terhadap pendapatan rakyat dijangka lebih buruk kerana masih belum dapat pulih selepas setahun kesan daripada PKP1.0.

Katanya, rakyat yang bergantung kepada upah harian, bekerja dalam ekonomi gig dan secara freelance akan menerima kesan yang buruk daripada PKP3.0.

Pada cadangan kelima, beliau menarik perhatian kepada pusingan baharu geran tunai kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS}

Menurut Young Syefura, walaupun di bawah PKP 3.0 semua sektor ekonomi dibenarkan, namun hanya sektor-sektor tertentu dan syarikat-syarikat besar sahaja yang mampu beroperasi seperti biasa.

Ini kerana menurut beliau sekatan PKP3.0 seperti sekatan pergerakan akan memberi kesan yang teruk kepada sektor-sektor yang melibatkan jualan barangan dan perkhidmatan khususnya kepada PKS.

“(Maka) geran tunai seperti Geran Khas Prihatin sebanyak RM3,000 perlu diberikan sekali lagi kepada PKS bagi mengharungi satu lagi pusingan PKP, “ ujarnya.

Beliau turut mencadangkan supaya subsidi upah ditambah untuk menyelamatkan pekerjaan dan menyokong pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR).

Pada  cadangan keenam ini, beliau berharap kerajaan menambah peruntukan bagi melanjutkan dan memperluaskan semula program subsidi upah yang ketika ini bagi perniagaan yang terkesan oleh Covid -19 dan yang beroperasi di kawasan PKP.

Katanya, bagi menyokong pelaksanaan arahan BDR, subsidi upah juga boleh diperluaskan kepada PKS bagi memastikan syarikat-syarikat ini tidak terkesan dengan kapasiti rendah operasi syarikat mereka.

Akhir sekali, beliau mencadangkan supaya pemberian pampasan terhadap pembatalan urusan melibatkan kontrak dan kerugian kos dilaksanakan

Menurut beliau, pelaksanaan PKP3.0 secara tiba-tiba dan di seluruh negara sudah tentu akan mengakibatkan pembatalan urusan yang melibatkan kontrak sama ada urusan perniagaan ataupun urusan peribadi serta kerugian kos yang telah dibelanjakan.

Ini termasuklah peniaga yang sudah membeli stok barangan jualan, syarikat yang menandatangi perjanjian pembelian barang mentah, kos perbelanjaan untuk penganjuran sesuatu program termasuklah yang merancang dan menempah dewan untuk perkahwinan.

“Atas kelemahan kerajaan dengan pelaksanaan PKP3.0 secara menyeluruh termasuklah di negeri-negeri yang mencatatkan kes jangkitan Covid-19 yang rendah, adalah patut kerajaan memberi pampasan kepada pihak yang terkesan,”ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya