Yayasan Salleh Saidin sumbang 250 kg daging, beras pulut - Utusan Malaysia

Yayasan Salleh Saidin sumbang 250 kg daging, beras pulut

MOHD. Salleh Saidin menyampaikan sumbangan Aidilfitri berupa daging dan keperluan harian kepada salah seorang penerima, Dahari Din, 65 di Kota Sarang Semut, Alor Setar hari ini. UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 250 penerima daripada golongan asnaf dalam Parlimen Kuala Kedah menerima daging lembu tempatan yang disumbangkan Yayasan Salleh Saidin sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengagihan 250 kilogram (kg) daging itu dilakukan di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pengkalan Kundor, Anak Bukit dan Kubang Rotan dalam Parlimen Kuala Kedah.

Penerima turut menerima sumbangan beras pulut, selain akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! secara percuma yang dibeli oleh Yayasan Salleh Saidin secara pukal sebanyak 1,000 naskhah.

Pengerusinya, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, setiap keluarga yang layak akan menerima sebanyak masing-masing satu kg daging dan beras pulut sebagai persiapan menjelang hari raya.

“Semua penerima terdiri daripada golongan asnaf di bawah Lembaga Zakat Negeri Kedah serta fakir miskin yang disenaraikan oleh pihak masjid yang ada di Parlimen ini,” katanya semasa menyampaikan sumbangan kepada penerima di Jalan Pendang, Kota Sarang Semut, di sini semalam.

Katanya, pihaknya menyumbangkan daging dan beras pulut kerana ia merupakan hidangan wajib bagi setiap keluarga pada hari raya.

“Ketupat dan lemang menjadi menu utama pada hari raya, jadi pihak Yayasan Salleh Saidin memilih beras pulut dan daging untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan.

“Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh golongan berkenaan, lebih-lebih lagi yang mempunyai ramai ahli keluarga,” katanya.

Tambahnya, sumbangan itu juga diharap dapat memberi keceriaan kepada keluarga penerima walaupun dihimpit masalah kemiskinan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN