ALOR SETAR: Yayasan Salleh Saidin ingin berkongsi kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan menyampaikan sumbangan sebanyak 10,000 ekor ayam secara percuma kepada golongan miskin dan asnaf di kawasan Parlimen Kuala Kedah, di sini.
Ternyata, sumbangan dua ekor ayam setiap seorang sebagai persediaan menyambut lebaran tidak lama lagi menggembirakan 5,000 penduduk yang menerimanya.
Sumbangan disampaikan secara berperingkat di 50 masjid di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak dalam Parlimen Kuala Kedah iaitu DUN Pengkalan Kundor, DUN Anak Bukit dan DUN Kubang Rotan selama tiga hari bermula Sabtu lalu.
Pengerusinya, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, penerima sumbangan tersebut dipilih berdasarkan nama pemerima bantuan zakat daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah dan ahli-ahli kariah masjid.
Menurutnya, sumbangan tersebut yang mula diperkenalkan oleh Yayasan Salleh pada tahun ini bertujuan memberi peluang kepada golongan miskin dan asnaf melengkapkan keperluan sambutan Aidilfitri.
“Walaupun nilai yang diberikan kepada setiap penerima tidak seberapa tetapi amat besar kepada kami sebagai tanda tulus ikhlas untuk semua sempena meraikan hari lebaran.
“Saya terharu dan teruja apabila melihat wajah kegembiraan penerima sumbangan ayam yang terdiri daripada golongan miskin dan asnaf pada bulan mulia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan ayam Aidilfitri Yayasan Salleh Saidin kepada penduduk di Masjid Nurul Ehsan, Kubang Rotan, Kuala Kedah di sini semalam.
Selain itu, Mohd. Salleh menambah, yayasan itu juga menyampaikan sumbangan daging lembu secara percuma kepada 250 penduduk miskin yang sakit terlantar di kawasan Parlimen Kuala Kedah yang akan diagihkan esok.
“Setiap penduduk terbabit akan menerima sumbangan daging lembu sebanyak dua kilogram setiap seorang,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima, Abdul Lateh Chor, 62, berkata, dia merancang untuk memasak rendang ayam sebagai juadah hari raya nanti.
Katanya, walaupun ada beberapa anak dan cucunya tidak dapat balik beraya kerana larangan rentas negeri dan daerah, namun juadah itu boleh disaji untuk keluarga terdekat dan tetamu yang berkunjung di pagi raya.
“Sumbangan ini amat bermakna buat keluarga yang mana wang yang ada boleh digunakan untuk beli keperluan lain,” katanya. -UTUSAN ONLINE