Yang di-Pertuan Agong zahir kebimbangan situasi Covid-19 - Utusan Malaysia

Yang di-Pertuan Agong zahir kebimbangan situasi Covid-19

agong
AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH puji pelan jaga kesihatan mental rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan dengan situasi Covid-19 yang tidak menunjukkan sebarang tanda penurunan sejak kes positif harian dilaporkan mencecah 4,000 kes.

Menurut kenyataan Istana Negara, Seri Paduka menzahirkan harapan agar kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat melipatgandakan lagi usaha yang sedang dan akan dilakukan untuk melandaikan kes positif harian yang telah memberi kesan kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang.

Jelas Istana Negara, Seri Paduka menyeru semua pihak mengetepikan perbezaan dan kepentingan diri masing-masing untuk bersama berganding bahu membantu kerajaan serta petugas barisan hadapan menjayakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan usaha-usaha memerangi wabak itu.

“Al-Sultan Abdullah amat memahami keluh kesah rakyat di peringkat akar umbi yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19. Sehubungan itu, Seri Paduka menzahirkan harapan agar masalah dan kelangsungan hidup rakyat ditangani serta dipelihara oleh kerajaan dan semua pihak bertanggungjawab.

“Susulan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula esok sehingga 7 Jun, Seri Paduka menasihati rakyat untuk berada di rumah dan tidak keluar jika tiada keperluan mendesak. Ini membantu petugas barisan hadapan mengekang rantaian jangkitan Covid-19 dengan berkesan,” jelas kenyataan itu.

Istana Negara menambah, masyarakat secara umumnya dilarang sama sekali untuk merentas negeri dan daerah mengikut keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan kerana perkara itu, selaras dengan prinsip menjaga kemaslahatan ummah.

Tambah kenyataan itu, Seri Paduka mengulangi titah nasihat baru-baru ini supaya rakyat mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga dengan sentiasa berdisiplin mematuhi larangan dan arahan terkini yang ditetapkan MKN bagi mengelakkan negara dibadai tsunami Covid-19 seperti dialami beberapa negara di Asia Selatan dan Eropah.

Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan keyakinan dengan kerjasama padu dan komitmen tinggi semua pihak, negara mampu melandaikan penularan jangkitan demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang dicintai bersama.

“Mengambil keberkatan Ramadan yang mulia ini dan menjelangnya sambutan Aidilfitri, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mengambil kesempatan ini mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga negara sentiasa diberkati dan dilindungi serta ancaman wabak Covid-19 dapat diakhiri dengan segera,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya