PUTRAJAYA: Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bersetuju dengan permohonan kali kedua Malaysia untuk menubuhkan panel tindakan undang-undang bagi meneliti langkah diambil Kesatuan Eropah (EU) berikutan kempen anti minyak sawit.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, persetujuan WTO itu dibuat dalam Mesyuarat Badan Penyelesaian Pertikaian (DSB) yang bersidang pada 28 Mei lalu.
Menurut beliau, permohonan pertama Malaysia bagi penubuhan panel itu dibincangkan dalam mesyuarat tersebut, namun tidak dipersetujui EU.
Katanya, badan Eropah itu tetap dengan pendirian bahawa tindakan mereka dalam pelaksanaan Delegated Regulation di bawah European Union Renewable Energy Directive 2018/2001 (EU RED II), adalah berasas dan selaras dengan perundangan WTO.
“Permohonan penubuhan panel Malaysia adalah selaras dengan peraturan dan prosedur yang digariskan WTO. Permohonan ini diambil berikutan tiadanya penyelesaian dicapai dalam konsultasi yang diadakan bersama EU pada 17 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Mohd. Khairuddin berkata, Malaysia akan terus komited meneruskan tindakan undang-undang terhadap EU selaras dengan keputusan mesyuarat Kabinet pada 1 Julai tahun lalu dan pemfailan kes yang dibuat pada 15 Januari lalu.
Katanya, sebagai negara pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia, Malaysia kesal dengan langkah EU dalam memberi layanan kepada minyak sawit berbanding minyak sayuran lain.
“Tindakan ini adalah perlu dalam melindungi kepentingan industri sawit negara yang memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara khususnya kepada pekebun kecil sawit.
“Malaysia melalui kementerian ini dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan melaksanakan persediaan yang sewajarnya dalam proses ini demi mempertahankan industri sawit negara,” katanya.