Waris kemalangan maut terima bayaran faedah Perkeso - Utusan Malaysia

Waris kemalangan maut terima bayaran faedah Perkeso

MIOR Faridalathrash Wahid (tiga dari kanan) bersama ibu bapa K.Nagantheran (kanan) menerima bayaran faedah Perkeso di IPK Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Waris dua mangsa kemalangan maut yang dirempuh kereta di Kilometer 263.3, Lebuh Raya Utara-selatan arah selatan selepas Terowong Menora di sini 2 Mei lalu, menerima bayaran faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini.

Dalam nahas sekitar pukul 3.50 petang itu, mangsa, Maryamah Talib, 52, dan K. Nagantheran, 22, maut akibat cedera parah selepas dirempuh kereta Perodua Alza dipandu lelaki berusia 46 tahun.

Pengarah Perkeso Perak, Anthony Arul Dass berkata, berdasarkan semakan oleh Skuad Perkeso Prihatin, dua mangsa itu merupakan orang berinsuran (OB) dan layak menerima faedah Perkeso iaitu faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 dan pencen penakat.

Katanya, pencen penakat berjumlah RM1,511 akan dibayar kepada suami Maryamah iaitu Suhaimi Ismail, 52, manakala ibu bapa Nagantheran pula menerima pencen sebanyak RM223.

“Semakan mendapati, arwah Maryamah mencarum sejak 1987 manakala mendiang Nagantheran pula mencarum sejak 2016 dan melayakkan mereka memperoleh faedah pencen penakat.

“Pembayaran pencen itu akan dibuat setiap bulan bermula bulan hadapan di mana waris akan menerimanya sepanjang hayat,” katanya ketika ditemui selepas majlis serahan cek faedah pengurusan mayat kepada waris di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz.

Sementara itu, M. Kalpana, 46, berkata, dia dan suami, M. S. Kajendran, 57, masih bersedih dengan kejadian menimpa anak tunggal itu, namun, reda kerana kematian lelaki terbabit adalah semasa membantu orang.

“Dia memang suka menolong orang, tidak kira siapa pun dia akan bantu. Dia anak yang baik dan tidak suka membebankan kami.

“Saya juga tidak sangka kehadirannya ke Taiping sebelum nahas merupakan kejutan terakhir untuk kami. Kini, kami kehilangan satu-satunya anak yang cukup rapat dan mengambil berat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya