BUKIT MERTAJAM: Seorang warga Pakistan ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, suspek berusia 20 tahun yang bekerja sebagai buruh kontrak itu ditahan di rumahnya di Perai, dekat sini kira-kira pukul 12.30 malam tadi hasil maklumat kanak-kanak terbabit.
Terdahulu kata Shafee, mangsa mendakwa didukung suspek memasuki lif sebelum dibawa ke sebuah rumah di kawasan perumahan flat di Perai, kira-kira pukul 2 petang pada hari kejadian.
Katanya, dalam kejadian itu mangsa mendakwa suspek melondehkan seluarnya dan seluar mangsa sebelum memasukkan kemaluan ke dalam dubur mangsa sebanyak dua kali selain mencium mulut mangsa secara paksa.
“Selepas kejadian itu, mangsa yang diarahkan pulang langsung tidak menceritakan peristiwa tersebut kepada sesiapa kerana terlalu takut.
“Bagaimanapun mangsa akhirnya ‘membuka mulut’ dan memberitahu perkara itu kepada bapanya (pengadu) semalam sebelum membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Shafee, mangsa merupakan anak bongsu daripada dua beradik dan pelajar tahun dua di sebuah sekolah rendah di sini.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang bermain di taman permainan di kawasan perumahannya seorang diri sebelum didatangi suspek.
“Mangsa juga memberitahu dia ada menjerit meminta tolong sewaktu kejadian, namun tiada sesiapa di kawasan tersebut ketika itu.
“Siasatan juga mendapati tempat kejadian merupakan kawasan perumahan flat jenis kos murah dan hanya suspek dan mangsa berada di dalam rumah tersebut,” katanya yang menambah, tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Jelas Shafee, suspek kini direman sehingga 5 Jun ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – UTUSAN ONLINE