BATU PAHAT: Kematian seorang warga emas ketika mendaki Bukit Soga, di sini pada Rabu lalu disahkan berlaku di dalam kawasan yang diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal iaitu Hutan Simpan Soga.
Pengarah Jabatan Perhutanan Johor, Datuk Salim Aman berkata, kawasan hutan itu juga diwartakan sebagai Hutan Tertutup iaitu kemasukan ke dalam kawasan tersebut adalah dilarang kecuali melalui Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal yang dikeluarkan pihaknya.
Menurut beliau, siasatan juga mendapati, mangsa dan keluarga memasuki kawasan Hutan Simpan Soga melalui lorong pendakian yang tidak dibenarkan berhampiran tanah perkuburan Cina Taman Sri Soga, di sini.
“Kita telah menyediakan laluan dan trek pendakian ke puncak Bukit Soga melalui Taman Eko-Rimba Soga Perdana, namun seperti diketahui semua kawasan rekreasi dan riadah dalam Hutan Simpanan Kekal termasuk Taman Eko-Rimba, Hutan Taman Negeri dan juga trek-trek pendakian adalah ditutup sepenuhnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Oleh itu, mangsa dan ahli keluarga pada dasarnya bukan sahaja telah melanggar PKP tetapi juga melakukan kesalahan kerana memasuki kawasan Hutan Simpanan Kekal tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan seorang lelaki berusia 62 tahun disahkan meninggal dunia sewaktu mendaki Bukit Soga bersama isteri dan anaknya setelah mengadu sakit kepala sebelum rebah dan tidak sedarkan diri ketika berada di puncak bukit berkenaan pada pukul 5.35 petang.
Mengulas lanjut, Salim berkata, Jabatan Perhutanan Johor juga telah membuat laporan polis berkaitan kes berkenaan.
“Kesalahan di bawah Seksyen 47, Enakmen Perhutanan Negeri 1985 iaitu jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Kita ingin menasihatkan orang awam agar sentiasa mematuhi peraturan dan perundangan yang berkaitan terutama sekali larangan dan SOP yang telah ditetapkan dalam usaha kerajaan menangani pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan sekarang ini,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE