GERIK: Seorang wanita di sini menderita penyakit kulit kronik menyebabkan seluruh badannya termasuk kepala berbintik dan bernanah sejak dua tahun lalu.
Rosmayati Toha, 29, berkata, penyakitnya itu semakin teruk sejak awal tahun ini dan dalam tempoh empat bulan, bintik-bintik merah dan bernanah mula merebak hingga ke kepala dan kaki, menyebabkan dia rasa sakit dan tidak selesa.
Menurutnya, malah rambutnya mulai gugur walaupun tidak gatal tetapi kulit kepala terasa pedih dan luka apabila bintik-bintik nanah pecah.
“Sejak mengidap penyakit ganjil ini, penyakit ini pernah sembuh selama lebih kurang setahun setelah berubat tetapi bintik-bintik nanah mulai keluar semula sejak September lalu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Felda Nenering, Pengkalan Hulu, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, setelah mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Baling pada Februari lalu, doktor pakar membekalkan semula ubat yang mengandungi steroid menyebabkan rambutnya gugur, badan seperti lebam dan kuku tercabut.
Katanya, matanya juga menjadi kabur dan terpaksa menghentikan pengambilan ubat tersebut dan mencari ubat lain yang tanpa mengandungi steroid.
“Saya cuba dapatkan krim sapu dari farmasi dan beberapa jenis ubat lain secara atas talian dan Shoope, kalau bintik-bintik naik banyak, saya sapu ubat tersebut yang hanya boleh guna dua kali sahaja dan saya tidak mampu beli berulang kali kerana harganya mahal,” katanya.
Katanya, dia juga terpaksa menggunakan sabun mandi khas dan menyapu krim khas untuk melembabkan kulit dan tidak menghakiskan kulit atau menjadikan kulit kering dan pedih.
Menurutnya, dia juga telah menemui doktor pakar kulit dan dia diberikan ubat Methotrexate (MTX) sejenis ubat kimoterapi yang paling rendah dosnya.
“Sebelum ini doktor mengesahkan saya menghidap penyakit psoriasis dan mengesyorkan pengambilan ubat MTX tetapi ditolaknya kerana risiko tidak boleh mengandung, dikhuatiri mengalami kecacatan pada janin,” katanya. -UTUSAN ONLINE