MELAKA: Seorang guru wanita rugi RM41,000 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E. Sundra Rajan berkata, mangsa yang berusia 33 tahun itu tertipu selepas mengangkat panggilan daripada seorang wanita pada 21 April lalu.
Katanya, guru terbabit kemudian diberitahu suspek kononnya mempunyai tunggakan cukai LHDN sebanyak RM39,200.90 melibatkan sebuah syarikat yang didaftarkan atas namanya.
“Mangsa menafikan perkara tersebut, namun suspek berpura-pura menyambungkan talian ke bahagian Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan seorang lelaki menjawab panggilan tersebut.
“Selepas berbincang dengan seorang suspek menyamar Sarjan Ali Hassan, talian disambungkan pula kepada pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dan mangsa bercakap dengan seorang suspek lelaki yang meminta butiran bank mendakwa ia bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa tanpa berasa curiga telah memberikan nombor akaun Maybank, Bank Islam, Tabung Haji berserta identiti pengguna dan kata laluan kepada suspek.
Sundra berkata, seorang suspek menyamar Inspektor Khoo memberitahu akaun bank mangsa didakwa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram dan pada hari yang sama guru terbabit turut menerima mesej pemindahan wang daripada akaunnya.
“Bagi membatalkan dakwaan pengubahan wang haram itu, mangsa diminta oleh suspek untuk membuat pinjaman peribadi dan guru terbabit mengikuti arah tersebut dengan membuat pinjaman melalui Bank Islam berjumlah RM27,000.
“Pada 28 Mei lalu, mangsa telah membuat semakan ke atas semua akaun bank dan mendapati wangnya telah berkurangan sebanyak RM42,000,” jelasnya.
Katanya, mangsa yang menyedari dirinya telah ditipu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Selandar dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.