Wan Samihat pembuat kuih tradisi tunggal di Gua Musang - Utusan Malaysia

Wan Samihat pembuat kuih tradisi tunggal di Gua Musang

WAN Samihat Wan Ahmad menunjukkan kuih jala mas, puding raja dan bunga tanjung yang dihasilkan di rumahnya di Taman Wangi, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kemunculan aneka kuih moden dengan rupa bentuk menarik gagal menenggelamkan populariti kuih tradisi istana Kelantan seperti buah tanjung, jala mas dan puding raja air tangan Wan Samihat Wan Ahmad.

Ramadan kali ini, Wan Samihat, 61, yang mencari rezeki dengan membuat kuih tradisi tersebut sejak kira-kira 30 tahun lalu, masih ligat di dapur setiap hari bagi memenuhi tempahan pelanggan di sekitar bandar ini.

Wan Samihat berkata, peminat juadah manis hidangan istana itu sentiasa mencari dia untuk membuat tempahan setiap kali Ramadan kerana agak sukar mencari orang yang membuatnya hari ini.

Malah dia dikatakan menjadi satu-satunya pembuat kuih tersebut yang masih aktif di sekitar Gua Musang.

“Bahan utama yang digunakan dalam kuih muih pemanis mulut ini ialah telur ayam serta gula.

“Untuk Ramadan tahun ini, saya menggunakan kira-kira 500 biji telur ayam sehari bagi menghasilkan kuih tradisional itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya Taman Wangi di sini, hari ini.

Wan Samihat berkata, minat mendalam terhadap kuih tradisi menyebabkan dia menuntut ilmu melipat jala emas supaya rupa bentuknya menjadi kepingan yang kemas dan cantik, sekali gus menarik minat pembeli.

Bagaimanapun katanya, tidak ramai golongan belia berminat mahu mempelajari ilmu membuat kuih tradisi dan tidak mustahil kuih-kuih seperti buah tanjung, jala mas dan puding raja akan terkubur pada masa hadapan.

“Saya berharap ada generasi muda berminat untuk terus mengusahakan serta menjual kuih tradisional ini dan bersedia menurunkan ilmu yang saya ada,” katanya.

Harga jualan bagi jala mas dan bunga tanjung buatan Wan Samihat ialah RM5 sebekas manakala puding raja RM10 sebekas. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN