Wan Ramli dinobatkan selaku penerima ATABM 2020 - Utusan Malaysia

Wan Ramli dinobatkan selaku penerima ATABM 2020

WAN RAMLI WAN DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Profesor Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Wan Ramli Wan Daud dinobatkan penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) Tahun 2020. 

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan berkata, Wan Ramli yang juga profesor UKM-Petronas Tenaga Hidrogen Lestari, Institut Sel Fuel (Selfuel) telah mencipta pelbagai pencapaian gemilang di dalam negara dan antarabangsa. 

Katanya, beliau menjuarai bidang tenaga berpancaran sifar seperti tenaga hidrogen, teknologi sel fuel dan teknologi pengeringan lestari; dan etnoteknologi Melayu di persada global melalui penyelidikan dan pembangunan menggunakan Bahasa Melayu. 

“Selain itu, beliau juga turut menerima anugerah lain yang berprestij bagi saintis Malaysia iaitu Anugerah Merdeka (2016) untuk prestasi kesarjanaan yang amat cemerlang dalam penyelidikan dan pengembangan sel fuel dan tenaga hidrogen di dunia. 

“Beliau juga diiktiraf sebagai satu peratus saintis tersohor dunia dalam The World’s Most Influential Scientific Minds dan Highly Cited Researcher sebanyak enam kali iaitu dua kali oleh Thomson Reuters pada 2015 dan 2016 dan empat kali oleh Clarivate Analytics pada 2017, 2018, 2019 dan 2020,” katanya hari ini. 

Sementara itu, KPT berkata, Timbalan Pengarah Akademik, Politeknik Sultan Idris Shah, Dr. Mazura Mansor dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal. 

Pada masa sama, Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (Bahasa), Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Mohamad Asri Mat Husin pula menerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan. 

Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, enam orang tokoh telah menerima anugerah ATABM dan mereka terdiri daripada ahli-ahli akademik di universiti awam dengan pelbagai latar belakang bidang kepakaran. 

Pada tahun lalu, tiga kategori iaitu Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu, Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal dan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan diperkenalkan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya