PUTRAJAYA: Semua wakil rakyat dibenarkan menjalankan kegiatan bersama penduduk sepanjang tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula Selasa ini yang menyamai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lalu.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri boleh ‘turun padang’ bagi menyantuni rakyat.
“Ini seperti menyampaikan bakul makanan asalkan patuh prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini. .
Antara sektor tidak dibenarkan dibuka ialah pasar tani, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu selain kedai gunting rambut, perabot, bunga, barang kemas, buku dan peralatan tulis.
Menurut senarai larangan yang diterbitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, operasi kafe siber dan pusat siber selain aktiviti fotografi dan perjudian berlesen juga tidak dibolehkan.
Ia meliputi premis agensi nombor ramalan, lumba kuda dan kasino. Turut dilarang dibuka ialah operasi spa, refleksologi, pusat urut, salun kecantikan, penjagaan tubuh, rias kuku dan badan.
Sekatan penuh pada kali ini juga menyaksikan pusat cuci kenderaan, aksesori kenderaan, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, alat permainan dan peralatan sukan ditutup.
Begitu juga hobi memancing ikan kecuali sara hidup diri, persembahan filem di pawagam termasuk pandu masuk, persembahan di lounge hotel dan hiburan jalanan turut dilarang.
Bagi sukan dan riadah, MKN melarang semua aktiviti termasuk program latihan berpusat, fasiliti dan premis, penganjuran pertandingan atau perlawanan tempatan dan antarabangsa.
Industri kreatif juga dilarang meliputi secara langsung atau rakaman termasuk penggambaran filem, drama, iklan, promosi, komedi, animasi kecuali bual bicara dan strim live individu.
Turut digantung ialah aktiviti pelancongan yang juga meliputi zoo, taman alam, ekstrem, premis seni, budaya, warisan, muzium, perpustakaan, galeri, taman tema dan karaoke.
Acara sosial seperti kenduri, pernikahan, pertunangan, perkahwinan, kelahiran, resepsi, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, reunion dan retreat serta majlis keramaian lazim – UTUSAN ONLINE