PETALING JAYA : Semua 260,000 vaksin AstraZeneca habis ditempah oleh orang ramai dalam tempoh tiga jam sahaja sejak ia dibuka pada pukul 12 tengah hari tadi.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengesahkan perkara itu berkata, semua slot suntikan vaksin AstraZeneca sudah habis ditempah kira-kira pukul 3.20 petang.
“Semua slot AZ ditempah sepenuhnya. Saya minta maaf di atas kesulitan . Anda masih boleh klik kotak kelabu untuk masukkan senarai tunggu selama beberapa jam lagi.
” Tarikh janji temu menerusi MySejahtera atau khidmat pesanan ringkas akan diberikan dalam masa terdekat,” katanya menerusi ciapan Twitter miliknya hari ini.
Khairy sebelum ini berkata, tempahan bagi mendapatkan vaksin berkenaan mula dibuka menerusi laman web www.vaksincovid.gov.my dengan berdasarkan kepada kaedah first come, first served.
Menurutnya, orang ramai hanya perlu mendaftar dan memilih pusat pemberian vaksin (PPV) serta tarikh janji temu bagi memperoleh suntikan.
Setelah memilih PPV dan tarikh, kata Khairy, sesiapa yang mendaftar itu akan diberitahu mengenai masa vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera atau melalui sistem pesanan ringkas (SMS). -UTUSAN ONLINE