MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menyempurnakan operasi pergerakan pulang pelajarnya ke kediaman masing-masing sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Timbalan Naib Canselornya (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd. Manap berkata, seramai 473 telah digerakkan pulang menggunakan perkhidmatan 21 buah bas yang disediakan universiti menerusi Op Pulang Hari Raya.
Katanya, kesemua yang pulang ke kampung halaman akan kembali semula ke kampus bermula 17 hingga 20 Mei.
“Perkhidmatan bas yang diselaraskan oleh UTeM terbahagi kepada empat zon utama iaitu Utara (Perlis, Kedah dan Pulau Pinang), Tengah (Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perak), Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) dan Selatan (Melaka, Negeri Sembilan dan Johor).
“Penghantaran pertama adalah pada 7 Mei lalu ke Pantai Timur, 8 Mei ke Zon Tengah, 9 Mei Zon Utara dan yang terakhir, semalam, adalah melibatkan penghantaran Zon Selatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nurulfajar menambah, sehingga kini Sistem Maklumat Pelajar mencatatkan 3,500 permohonan untuk pulang ke kampung halaman dengan seramai 1,672 pelajar pulang dengan kenderaan sendiri.
Ujarnya, sementara itu seramai 1,309 pelajar pula telah dijemput oleh ibu bapa, 46 pelajar pulang dengan kapal terbang dan 592 pelajar pula memilih untuk kekal di kampus.
“Pelajar yang berjaya permohonannya hanya perlu mencetak surat pelepasan rentas negeri sehari sebelum perjalanan dan surat berkenaan telah dilengkapkan dengan sistem kod QR.
“Bagaimanapun, pelajar yang tinggal di Sarawak dan lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan pulang,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE