Usahawan mahu kongsi rezeki - Utusan Malaysia

Usahawan mahu kongsi rezeki

Pasukan ND Divers menyiapkan makanan berbuka puasa untuk golongan memerlukan di Pulau Bum Bum, Semporna, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Hati siapa tidak tersentuh apabila melihat senyuman riang kanak-kanak miskin di daerah ini setiap kali menerima sebungkus makanan untuk berbuka puasa.

Makanan itu bagaimanapun, seolah-olah makanan pertama untuk kanak-kanak berkenaan dalam minggu tersebut.

Atas rasa prihatin, usahawan, Anuar Ismail, 45, cuba berkongsi rezekinya dengan golongan yang memerlukan menerusi program komuniti pada Ramadan kali ini.

Biarpun dirinya berdepan kesukaran akibat penutupan sektor pelancongan namun, itu bukan penghalang untuknya yang juga pengusaha lodge di Pulau Bum Bum di sini membantu insan lain yang sedang kelaparan.

Anuar atau lebih mesra dengan panggilan ND berkata, beliau amat bertuah kerana ramai bekas pelanggannya bermurah hati untuk menyumbang dana bagi bersedekah makanan berbuka puasa kepada komuniti sekitar daerah ini.

“Biarpun sektor pelancongan terjejas teruk tapi saya percaya lebih ramai orang yang lebih susah, masih ada insan yang berfikir apa yang boleh dimakan untuk hari ini dan esok.

“Atas sebab itu, saya berhubung dengan bekas pelanggan dan juga bakal pelanggan kami melalui media sosial untuk menjayakan program komuniti sempena Ramadan ini. Kami bersyukur kerana ramai yang berminat memberikan sumbangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, ini adalah tahun kelima mereka melaksana program komuniti semasa bulan Ramadan. Jika sebelum ini mereka membawa pelancong asing melawat bazar Ramadan dan membeli makanan berbuka puasa untuk disedekahkan kepada golongan memerlukan tapi tahun ini suasananya berbeza.

Kali ini semua makanan disediakan dan dimasak sendiri oleh mereka sebelum diagihkan kepada golongan memerlukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

ND berkata, setakat ini sebanyak 830 pek makanan berbuka puasa telah diagihkan ke 30 lokasi termasuk pulau-pulau sekitar Semporna.

Sekiranya penerima di sesuatu kawasan lebih 200 orang, mereka akan mendapatkan nasi lemak daripada peniaga tempatan kerana mereka tidak mampu menyediakannya sendirian.

Katanya, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, mereka turut membantu menyumbangkan bantuan makanan kepada masyarakat yang tinggal di kepulauan sekitar Semporna.

Semasa PKP biarpun berdepan kekangan untuk bergerak berbanding pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang besar namun, urusan mereka tetap dipermudahkan dalam membantu golongan yang putus sumber makanan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya