Usah persenda budaya kaum dalam Malaysia - Utusan Malaysia

Usah persenda budaya kaum dalam Malaysia

HALIMAH MOHAMED SADIQUE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Usaha menolak segala perkara yang boleh memecahbelahkan perpaduan perlu dilakukan lebih-lebih lagi ketika negara menghadapi waktu sukar akibat pandemik Covid-19 ketika ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, ia termasuklah dalam soal mempersendakan pakaian tradisional dan budaya setiap kaum yang ada di Malaysia.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, masyarakat yang ada dalam negara ini sepatutnya perlu menghormati budaya orang lain sekiranya mahu budaya sendiri dihormati.

“Dalam usaha kita mengejar perpaduan yang diidamkan usahlah kita mempersendakan pakaian tradisional dan budaya setiap kaum yang ada di Malaysia ini.

“Pakaian tradisional tak dapat dinilai dengan wang ringgit. Ia tradisi daripada nenek moyang kita. Malaysia mempunyai kepelbagaian budaya untuk kita banggakan.

“Ketika negara menghadapi waktu sukar akibat pandemik Covid-19, marilah kita menolak segala perkara dan usaha-usaha yang boleh memecahbelahkan perpaduan. Rapatkan jurang perbezaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, heboh dalam laman sosial apabila pasangan YouTuber menggunakan akaun Durian Kimchi, Ryzal Ibrahim dan isterinya, Maryam Younarae memuat naik video di InstaStory dengan mempersenda busana Ngepan Iban yang dipakai Maryam untuk satu penggambaran.

Video itu menjadi tular sehingga mendapat kecaman warganet terutama dalam kalangan penduduk Sarawak.

Ryzal dan Maryam yang juga seorang warga Korea Selatan kemudiannya telah memuat naik video permohonan maaf mereka kepada masyarakat kaum Iban kerana kesilapan tersebut.

Isu tersebut turut mendapat perhatian dua persatuan kebudayaan dan kesenian masyarakat Iban di Sibu, Sarawak yang bertindak membuat laporan polis.

Belum pun reda dengan kontroversi sindiran kaum Iban itu, terbaru penyanyi Zynakal pula terpalit isu sama. Isu tersebut timbul selepas Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, 22, meninggalkan komen pada hantaran terbaharu rakannya yang juga penyanyi rap terkenal, Yonnyboii.

Menerusi hantaran tersebut, Yonnyboii berkongsi foto lamanya yang lengkap memakai baju tradisional salah satu etnik di Sarawak sambil menulis ringkas dengan perkataan ‘uga-uga’.

Biarpun sekadar komen ringkas, rata-rata netizen menyifatkan komen tersebut sebagai sindiran yang merujuk kepada mereka yang hidup pada era dahulu kala lazimnya dikaitkan dengan istilah orang zaman batu.

Dalam pada itu, Halimah turut berharap perkara yang berlaku akan dijadikan sebagai satu iktibar dan menyatakan sifat memaafkan adalah satu perbuatan yang terpuji sambil mengingatkan perkara itu tidak sepatutnya berulang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya