UMNO terkubur jika bersama PN - Utusan Malaysia

UMNO terkubur jika bersama PN

YUSSOF LATIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: UMNO disaran meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) jika mahu mempertahankan kedudukan parti berpengaruh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Veteran UMNO, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, sekiranya UMNO masih menunggu dan terus berada dalam pentadbiran pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, parti itu akan terkubur ekoran kemarahan rakyat terhadap kerajaan PN pada masa ini.

“Saya melihat sebelum ini selama 22 bulan UMNO menjadi pembangkang, rakyat mula menilai semula kesilapan mereka menyingkir UMNO.

“Tetapi perkara telah berbeza apabila UMNO berkongsi kuasa menjadi Kerajaan Pusat dalam satu pakatan baharu bersama dua buah parti serpihan UMNO sendiri iaitu Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dan Pas,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan Aidilfitri di Pejabat Pemenang, di sini semalam.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika Perhimpunan Agung UMNO berlangsung Mac lalu memberi bayangan parti itu akan menarik diri daripada PN pada Ogos nanti iaitu pada tarikh pelaksanaan darurat dijangka tamat.

Menurut Mohd. Yussof gabungan PN kini mula dikritik rakyat kerana kelemahan-kelemahan kerajaan dalam menangani masalah negara dan akibatnya UMNO turut terpalit dengan kritikan itu.

“UMNO tidak seharusnya membiarkan pemimpinnya yang berada di dalam PN terpalit dengan isu-isu melibatkan kerajaan PN.

“Inilah masa yang sesuai untuk UMNO segera berundur daripada PN dan tumpukan kepada pengukuhan UMNO bersama Muafakat Nasional (MN),” katanya.

Tambah beliau, UMNO tidak dominan dalam kerajaan PN sekarang dan buat pertama kali dalam sejarah juga Pre­siden dan Timbalan Presiden UMNO tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan.

“Sempena sambutan ulang tahun Jubli Intan UMNO tahun ini, jadikanlah tarikh keramat 11 Mei ini sebagai Hari Kebangkitan Semula UMNO dengan putuskan segera untuk keluar daripada PN,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihat pemimpin UMNO, supaya terus bermuhasabah diri.

“Jika kita tidak lagi mendapat sokongan dan gagal membawa bahtera perjuangan, berundur secara terhormat dan jangan biarkan bahtera terus hanyut seperti tanpa nakhoda.

“Sayangilah UMNO lebih dari sayangkan jawatan anda kerana jika bahtera UMNO ka­ram, orang Melayu yang lemas,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya