PUTRAJAYA: Umat Islam diseru memanjatkan kesyukuran, bersabar dan bertawakal dalam menempuhi ujian dalam meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri sekali lagi dalam suasana berbeza daripada kebiasaan akibat pandemik Covid-19.
Dalam teks khutbah Aidilfitri yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dibacakan para imam di masjid-masjid di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, walaupun kita merasa sedih dan hiba dengan situasi itu, namun umat Islam perlu bersyukur kerana berjaya mengharungi Ramadan dalam suasana norma baharu.
Menurut teks khutbah, walaupun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, namun kita harus bersyukur kerana diberi peluang untuk mengimarahkan masjid dengan solat fardu berjemaah, solat tarawih, qiamullail dan bertadarus al-Quran.
“Kesempatan hadir ke masjid dan surau untuk menunaikan solat hari raya seharusnya kita syukuri di samping mempraktikkan kawalan kendiri. Sesudah selesai mendengar khubah hari raya, mimbar mengingatkan sidang jemaah sekalian untuk terus pulang ke rumah dan janganlah berkumpul beramai-ramai sehingga mengundang risiko penularan wabak ini.
“Mimbar juga mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan para jemaah sekalian untuk meneruskan ikhtiar dan usaha memutuskan rantaian Covid-19 ini dengan mematuhi Garis Panduan dan SOP yang dikeluarkan pihak berkuasa semasa menyambut hari raya,” menurut teks khutbah itu.
Teks khutbah menyebut, dalam mempraktikkan amalan kebiasaan baharu, masyarakat diingatkan untuk tidak ziarah-menziarahi, cukuplah berhubung secara maya kerana dibimbangi jika ada dalam kalangan kita yang dijangkiti wabak, ia akan menyebabkan berlaku penularan yang sukar dibendung dan dikawal.
Dalam ikhtiar itu, bertawakal kepada Allah SWT yang menguasai segalanya dan mudah-mudahan kita dan ahli keluarga sentiasa terpelihara daripada dijangkiti wabak ini.
Pada masa sama, umat Islam diingatkan bahawa Aidilfitri seharusnya diraikan dengan nilai kebersamaan, perpaduan dan persaudaraan.
Oleh itu, manfaatkanlah kecanggihan teknologi pada telefon pintar seperti aplikasi WhatsApp, Telegram, Instagram, Facebook dan sebagainya untuk berhubung terutama dengan ibu bapa yang berada jauh di kampung halaman, kaum keluarga, sanak saudara dan rakan taulan.
“Inilah masanya untuk kita mengeratkan silaturahim dan persaudaraan sesama ahli keluarga mahu pun sahabat handai. Rebutlah peluang untuk saling bermaafan sesama kita.
“Di samping itu, santuni jiran tetangga dan masyarakat sekeliling kita dengan saling memberi ucapan hari raya, mendoakan dan bersedekah dengan menghulurkan bantuan dan sumbangan seperti pemberian makanan, barangan keperluan harian dan sebagainya,” jelas teks khutbah.
Malah khutbah mengajak semua boleh menghantar makanan juadah hari raya kepada mereka walaupun tanpa menziarahi rumah dengan menggunakan perkhidmatan penghantar makanan seperti GrabFood, Foodpanda dan sebagainya.
Justeru, raikan Aidilfitri ini secara sederhana, jauhilah pembaziran dan janganlah mengisi sambutan hari raya dengan perkara yang tidak berfaedah.
“Aidilfitri adalah medan menambah keberkatan bukan menghapuskan segala ganjaran kebaikan yang telah dilakukan semasa Ramadan.
“Semoga Allah SWT menerima segala amalan dan kebaikan yang dilakukan dalam bulan Ramadan lalu. Semoga Hari Raya Aidilfitri 1442H ini dapat mencipta dan mengekalkan momentum amal ibadah yang telah kita lalui,” menurut teks khutbah.