Turun padang ke pusat jagaan warga emas untuk suntikan vaksin - Utusan Malaysia

Turun padang ke pusat jagaan warga emas untuk suntikan vaksin

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Jabatan Kesihatan negeri akan melaksanakan pendekatan turun padang ke pusat-pusat jagaan warga emas bagi memastikan seramai 2,185 penghuni di 49 buah pusat jagaan berdaftar di negeri ini memperoleh suntikan vaksin.

Inisiatif itu yang dijangka dimulakan minggu ini turut meliputi para penghuni di pusat-pusat jagaan warga emas tidak berdaftar berdasarkan senarai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Serentak itu juga, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya menggesa supaya proses pemberian vaksin fasa 2 membabitkan kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas dan morbiditi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dipercepatkan.

Ini kerana jelas beliau, sejak program itu bermula kira-kira sebulan lalu (19 April), daripada 125,866 warga emas berusia 60 tahun ke atas yang berdaftar menerusi MySejahtera, hanya 31,412 orang menerima dos suntikan pertama setakat 15 Mei lalu.

“Secara keseluruhan berdasarkan Jabatan Perangkaan, sasaran populasi fasa 2 bagi negeri Pulau Pinang adalah berjumlah 460,800 orang.

“Ini menunjukkan peratusan mereka yang telah menerima vaksin kini adalah amat tidak memuaskan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, tiga buah pusat jagaan warga emas di sini iaitu di Jalan Katz; Jalan Seang Tek dan Lebuh Cecil diarah tutup serta-merta selepas penghuni di salah sebuah rumah tersebut dilaporkan positif Covid-19.

Ketiga-tiga pusat itu dikendalikan sebuah syarikat persendirian dengan kakitangannya bertugas secara bergilir-gilir di rumah jagaan terbabit.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyeru mereka yang tergolong dalam kategori warga emas supaya membuat pendaftaran sebagai penerima vaksin pada kadar segera.

Berhubung saringan massa membabitkan sektor perkilangan menggunakan sampel air liur, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan inisiatif tersebut selepas memperoleh kata putus berhubung aspek logistik.

Jelas beliau, ia terutama membabitkan lokasi-lokasi makmal selain memperhalusi penyelarasan bersama-sama Jabatan Kesihatan negeri bagi memastikan kapasiti pusat-pusat kuarantin mencukupi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya