BUKIT MERTAJAM: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mendakwa tidak pernah menggunakan sebarang kekerasan atau bersikap tidak bertimbang rasa dalam setiap tindakan penguatkuasaan yang diambil.
Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, ini termasuk berkaitan isu aduan dan tangkapan kucing yang tular dalam laman Facebook ketika ini hingga menyebabkan seorang individu mengalami serangan jantung dan meninggal dunia kerana dilaporkan terlalu sedih dengan kejadian berkenaan.
Dalam kes itu, katanya, MBSP hanya bertindak atas aduan berulang mengenai kucing yang berkeliaran dan membuang najis di merata-rata tempat.
Beliau yang turut bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga itu berkata, selain menyiasat, pihaknya turut menasihatkan pemilik atau penjaga haiwan itu supaya tidak membiarkan kucing mereka lepas secara bebas dan mengurangkan jumlah kucing yang dibela bagi mengelakkan kacau ganggu dan bau busuk.
“Ketika siasatan pemilik kucing tersebut secara sukarela ingin menyerahkan seekor kucing yang disangkakan bunting kepada pegawai MBSP dan dia juga memaklumkan kucing itu akan diserahkan kepada pihak NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang bekerjasama dengan MBSP.
“Ketika itu juga, tiada serahan notis dibuat kerana tujuan siasatan ialah untuk memberi nasihat kepada pemilik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, satu hantaran Facebook yang dipercayai dimuat naik oleh anak mangsa melalui akaun bernama Azliya Alia semalam mendakwa, rumah mereka didatangi oleh pegawai penguat kuasa MBSP pada 19 Mei lalu untuk menangkap kucing itu yang didakwa berkeliaran.
Menurut pemilik akaun itu, ibunya yang dipanggil ‘mama’ bagaimanapun cuba merayu kucing tersebut tidak diambil kerana bimbang akan menghadapi masalah kemurungan tanpa haiwan itu, namun mendakwa rayuan terbabit tidak diendahkan.
Tambahnya, ketika melakukan rutin harian seperti mencari dan membersihkan najis haiwan tersebut termasuk di kawasan kejiranan keesokan paginya, wanita itu bagaimanapun mengalami serangan jantung secara mengejut sebelum meninggal dunia.
Hantaran itu kemudian tular di laman Facebook hingga mendapat reaksi lebih daripada 26,000 pengguna dan dikongsi sehingga sekurang-kurangnya 4,800 kali di laman sosial berkenaan kerana simpati dengan nasib wanita tersebut. – UTUSAN ONLINE