KOTA KINABALU: Biasanya menjelang dua minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri, tukang jahit dilihat mula bertukar ke `gear’ lima untuk menyiapkan beratus tempahan jahitan baju raya.
Tetapi tidak kali ini kerana masih ada tukang jahit yang membuka tempahan biarpun sudah berada pada pertengahan Ramadan disebabkan tempahan jahitan yang semakin berkurang.
Hajrah Basir, 47, berkata, mengambil kira situasi semasa, beliau memutuskan untuk terus membuka tempahan jahitan baju kurung sehingga minggu terakhir Ramadan.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 73 tempahan jahitan diterima dan memang berlaku trend penurunan tempahan jahitan kerana sebelum ini jumlah yang diterima boleh mencecah sehingga 400 pasang.
“Saya masih lagi menerima tempahan baju kurung kerana kedai jahitan De Princess Tailor ini hanya akan ditutup tiga hari sebelum Aidilfitri. Maka, saya akan memastikan semua tempahan jahitan yang diterima dapat disiapkan sebelum kedai ditutup.
“Setakat ini, 48 pasang baju sudah pun siap dan hanya ada 25 pasang sahaja lagi yang perlu disiapkan. Untuk menyiapkan tempahan jahitan, saya turut dibantu oleh empat orang pembantu,” katanya ketika ditemui dekat sini hari ini.
Menurutnya, setiap pembantu perlu menyiapkan tiga pasang baju bersama skirt pada setiap hari bagi memastikan tempahan yang diterima disiapkan lebih awal.
Hajrah berkata, sejak tiga tahun lalu trend baju raya juga mula berubah dimana, kebanyakan orang mula memilih baju siap dipakai atau ready to wear (RTW) dan itulah cabaran utama mereka sebagai tukang jahit.
Pelbagai koleksi baju RTW yang berada di pasaran memudahkan pelanggan untuk mendapatkan baju raya tanpa perlu membeli kain dan menghantarnya kepada tukang jahit.
Tidak dinafikan kos pembelian baju RTW agak murah namun, sesetengah pelanggan masih lagi selesa memakai baju yang dijahit sendiri.
Sementara itu, Siti Raha Yusof, 45, berkata, jika pada tahun lalu tempahan diterima kurang daripada 50 pasang, tapi kali ini tempahan jahitan diterima hampir 100 pasang.
Katanya, beliau tidak berani mengambil tempahan yang banyak kerana risau tempahan jahitan tidak mampu disiapkan sebelum Aidilfitri.
“Kebanyakan pelanggan risau tiada sambutan raya namun, setelah pengumuman dibuat pada pertengahan Mac bahawa bazar Ramadan (di Semenanjung) dibenarkan, barulah pelanggan mula menghantar tempahan jahitan.
“Saya bersyukur kerana tempahan kali ini lebih banyak berbanding tahun lepas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. -UTUSAN