PETALING JAYA : Satu sindiket ‘parcel scam’ atau penipuan kiriman bungkusan didalangi empat lelaki dan tiga wanita warga Nigeria tumpas selepas diserbu polis menyerbu kediaman di Semenyih dan Dengkil, Selangor Kelmarin.
Tangkapan kesemua suspek berkenaan dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, susulan penahanan salah seorang suspek ketika pemeriksaan Sekatan Jalan Raya (SJR) di susur masuk Plaza Tol Putra Heights pada kira-kira pukul 10 pagi hari sama.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, pada mulanya, lelaki Nigeria berkenaan yang menaiki sebuah kereta jenis Proton X70 telah ditahan.
Kata beliau, hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan terdapat tiga kad bank pelbagai jenis milik individu lain di dalam dompet lelaki tersebut.
“Semakan mendapati salah satu daripada tiga kad bank yang ditemui bersangkut laporan polis di Bukit Puchong dan menyebabkan suspek ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Abd. Khalid, susulan tangkapan tersebut, sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) IPD Subang Jaya kemudiannya melakukan pemeriksaan ke atas kediaman suspek di kawasan Eco Majestic Semenyih di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari hari sama sebelum menemukan barang-barang kes bersangkut laporan itu.
“Siasatan lanjut ke atas suspek, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah lagi rumah di kawasan Dengkil di sini sebelum menahan enam warganegara Nigeria masing-masing terdiri tiga lelaki dan wanita.
“Pemeriksaan lanjut, kita menemukan pelbagai kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor akaun. Semakan melalui Commercial Crime Intelligence System (CCIS) mendapati terdapat 26 rekod kes penipuan di seluruh Malaysia yang melibatkan kerugian lebih kurang sebanyak RM 390,000,” jelasnya.
Kata Abd. Khalid, masyarakat dinasihati supaya tidak menyerahkan Kad ATM atau maklumat akaun kepada individu tidak dikenali dan jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang diberikan di media sosial.
Jelas beliau, sebanyak 16 laporan melibatkan kes penipuan Parcel Scam di Subang Jaya diterima pihaknya sejak awal Januari ini sehingga kini dengan kerugian berjumlah RM 404,088.
“Pihak Polis memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang terlibat dalam aktiviti sedemikian. Masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan dengan jenayah komersil supaya tampil dan membantu pihak polis dalam membanteras jenayah penipuan ini.
“Pemantauan secara berterusan dan konsisten akan terus dilakukan di sekitar kawasan pentadbiran IPD Subang Jaya dari masa ke semasa. Sebarang maklumat mengenai aktiviti jenayah penipuan boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Subang ditalian 03-56210343 dan segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.-UTUSAN ONLINE