SUNGAI PETANI: Sebanyak 769 plastik lutsinar berisi cecair disyaki air daun ketum dan tiga beg plastik mengandungi daun ketum seberat 95 kilogram dirampas dalam tiga serbuan di Kampung Sungai Layar Hujung di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzly Abu Shah berkata, air ketum tersebut dirampas hasil serbuan Op Aidilfitri dan Op Cantas di buah tiga rumah yang terletak berdekatan di kampung tersebut antara pukul 4 petang hingga 5 petang.
Menurutnya, polis juga menahan tujuh lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 44 tahun dipercayai terlibat aktiviti memproses air ketum untuk dijual kepada penagih air ketum di sini.
Selain itu katanya, polis turut merampas peralatan memasak seperti tong gas, periuk besar serta tong ais.
“Mereka ditahan hasil serbuan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Khas D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pada serbuan pertama, beliau memberitahu, sebanyak 351 bungkus plastik mengandungi air ketum dan 30 kilogram daun ketum dirampas dan empat lelaki ditahan.
Katanya, rumah kedua berdekatan diserbu setengah jam kemudian dan polis merampas 250 bungkus plastik berisi air ketum serta menemukan daun ketum seberat 50 kilogram manakala tiga lelaki ditahan.
Tambahnya, hasil serbuan ketiga di rumah berasingan pada pukul 5 petang pula polis menahan seorang wanita berusia 44 tahun dan menemukan 168 bungkus air ketum selain 50 kilogram daun ketum di dalam plastik hitam.
“Kesemua suspek yang ditahan mengaku terlibat dalam memproses air ketum untuk dijual kepada penagih minuman tersebut,” katanya.
Menurut Adzly, semakan pihaknya mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Katanya, suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Kuala Muda untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1956.