Tubuh RCI siasat pendedahan Abdul Hamid - Utusan Malaysia

Tubuh RCI siasat pendedahan Abdul Hamid

ZULKIFLI MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang menggesa supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja (RCI) bagi menyiasat salah laku pemimpin kerajaan, rasuah, membeli ahli politik dan penggunaan jentera kerajaan seperti jet untuk kegunaan peribadi.

Pengerusi Negeri Amanah Pahang, Zulkifli Mohamed berkata, ia perlu susulan pendedahan yang dibuat Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. 

Jelasnya, Amanah Pahang terkejut dengan pendedahan Abdul Hamid tentang campur tangan tidak wajar seorang menteri Perikatan Nasional (PN) dalam perkhidmatan polis di bawah pimpinannya.

“Inilah kali pertama dalam sejarah badan keselamatan negara, seorang Ketua Polis Negara yang berhadapan tekanan dari anggota eksekutif, secara terbuka mengkritik campur tangan sedemikian.

“Paling mengejutkan pendedahan bahawa jenayah rasuah secara besar besaran telah berlaku dalam sistem pentadbiran kerajaan hari ini, apabila terjadi “urusniaga” jual beli maruah ahli politik dan amalan politik lompat kerana sogokan dan tekanan.

“Pendedahan sedemikian membuktikan bahawa kerajaan hari ini telah membuatkan negara sangat korup, berada dalam keadaan tenat dan sangat tidak bermaruah sehingga menimbulkan kebencian rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Kelmarin, Abdul Hamid mendakwa berlaku campur tangan politik dalam urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak sepatutnya.

Berikutan itu, Ketua Polis Negara yang bakal menamatkan khidmatnya pada 4 Mei ini  mengakui hubungannya dengan Menteri Dalam Negeri,  Datuk Seri Hamzah Zainuddin  kurang baik atau bad blood.

Selain itu, Abdul Hamid turut menyifatkan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan Hamzah  dicemari “unsur politik”.

Zulkifli dalam pada itu berkata, Amanah Pahang turut memohon perkenan Yang Di-Pertuan Agong bagi mengarahkan pembukaan sidang Parlimen untuk membolehkan isu-isu rakyat diangkat.

“Amanah Pahang juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat dan memulakan pendakwaan mereka yang terlibat dalam pendedahan Abdul Hamid.

“Paling utama, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan serta merta, ini kerana kerajaan hari ini adalah kerajaan gagal,” dakwanya. 

Beliau berkata, Amanah Pahang akan mengerahkan seluruh negeri untuk membuat laporan polis bagi menyiasat salah laku menteri kerajaan PN. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya