PUTRAJAYA: Sebuah tribunal khas bakal dibentuk sebagai inisiatif sekiranya penyandang Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dipecat segera.
Perkara itu antara usaha yang akan dilaksanakan kerajaan Malaysia dalam usaha reformasi agensi tersebut agar sejajar dengan resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 2005.
Menurut Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki, pewujudan tribunal khusus itu amat penting bagi memastikan kebebasan dan ketelusan institusi berkenaan daripada tekanan luar.
“SPRM bersedia mencapai hasrat digariskan Konvensyen PBB Memerangi Korupsi (UNCAC) dan juga selaras Kenyataan Jakarta terhadap Agensi Pencegahan Rasuah 2012,” katanya ketika menyampaikan ucap tama secara maya serta pembentangan Laporan Andalan Sejagat bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik, Bank Dunia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menambah, menerusi reformasi yang dirangka kerajaan, sebarang pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM juga perlu melalui proses Perlembagaan Persekutuan.
Langkah berkenaan ujarnya, demi memastikan tahap keselamatan bakal penyandang dan kewibawaan bekas penyandang sentiasa terpelihara daripada elemen campur tangan asing.
“Turut dirancang ialah pembentukan sebuah suruhanjaya tersendiri bagi membolehkan SPRM bebas untuk terus melantik, menukar atau memecat mana-mana pegawainya,” tegas Azam.
Pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM era kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) tempoh hari mencetuskan kontoversi kerana beliau merupakan ahli politik daripada PKR.
Sementara itu, Azam turut memaklumkan bahawa SPRM sehingga 31 Disember tahun lalu hanya berjaya menyempurnakan 29 daripada 115 inisiatif manakala baki 86 lagi dalam proses.
“Bagaimanapun kami telah mencapai banyak kejayaan dalam aspek pendakwaan menerusi pelbagai kes berprofil tinggi yang menjadi punca ketirisan peruntukan kerajaan,” jelas beliau.
Antaranya kata beliau, pada 18 Mac lalu apabila julung kali sebuah syarikat didakwa di bawah Seksyen 17A Akta SPRM kerana merasuah pihak ketiga bagi perolehan kontrak,” katanya.
Begitu juga kejayaan pembongkaran kartel yang memonopoli 354 tender projek kerajaan bernilai RM3.8 bilion pada awal bulan lalu, membuktikan kesungguhan SPRM memerangi rasuah. – UTUSAN ONLINE