Tradisi mantai diteruskan ikut SOP - Utusan Malaysia

Tradisi mantai diteruskan ikut SOP

Orang ramai beratur untuk membeli daging segar daripada peniaga, Mohd. Hazli Othman sempena aktiviti mantai yang menjadi tradisi masyarakat Negeri Sembilan.- FOTO/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Aktiviti ‘mantai’ yang menjadi tradisi masyarakat Negeri Sembilan tetap meriah walaupun Hari Raya Aidilfitri tahun ini disambut sederhana berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Tinjauan di sekitar Seremban mendapati tradisi mantai berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan terdapat aktiviti menjual daging ternakan khususnya lembu dan kerbau di lokasi tumpuan ramai atau di tepi jalan.

Seorang peniaga daging, Mohd. Hazli Othman, 41, dari Temiang, berkata, walaupun dalam PKP, sambutan mantai tahun ini amat menggalakkan dan orang ramai tidak melepaskan peluang membeli daging segar untuk memasak juadah pada Hari Raya Aidilfitri.

“Mantai tahun ini berlangsung selama tiga hari bermula Ahad lalu sehingga hari ini dan saya telah menyediakan 27 ekor lembu untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Walaupun harga bagi daging pejal lembu agak tinggi iaitu RM40 sekilogram berikutan harga daripada pembekal juga tinggi, tetapi, pelanggan faham dan mereka tetap berpuas hati kerana kualiti daging segar yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui di gerainya di Sikamat di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Hazli memberitahu, tahun ini sedikit berbeza apabila kebanyakan pelanggan membuat tempahan awal bagi mengelak mereka bersesak-sesak membeli daging di gerainya.

Bagi seorang pelanggan, Mohammed Nizar Mohammed Hafidz, 35, dia mula beratur untuk membeli daging selepas solat Subuh bagi mengelakkan kesesakan dan beratur panjang.

“Alhamdulillah, awal pagi tadi orang belum ramai dan saya dapat membeli daging lembu segar serta tulang rusuk untuk juadah raya

“Mantai yang tradisi masyarakat di sini tetap diteruskan walaupun kita tidak dapat rentas negeri dan daerah untuk pulang ke kampung,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya