PUTRAJAYA: “Tolonglah percaya Covid-19 ini benar-benar wujud.”
Demikian luahan seorang jururawat, Rus Hasimah Anuar kepada Utusan Malaysia yang bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 2.0 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang ketika ini.
Menurutnya, lokasi di sini tidak pernah surut dengan kehadiran pesakit, malah, semakin bertambah dua kali ganda pada bulan Ramadan kali ini.
Beliau berkata, bebanan tugas petugas kesihatan semakin berganda, apatah lagi kekurangan kakitangan untuk bertugas untuk menguruskan pesakit kategori 1,2 dan 3 di Dewan A, B, C ,D1 Dan DG sudah sesak.
Beliau yang ditugaskan di Dewan A yang menempatkan pesakit warga emas, ibu dan anak berkata, situasi amat mencabar bukan sahaja untuk memberi rawatan fizikal, malah, menjaga emosi mereka yang mengalami kemurungan dan tekanan akibat wabak ini.
“Peristiwa tidak boleh dilupakan apabila ada seorang ibu mengetuk cermin dan bercakap melalui telefon di kaunter pada pukul 12 malam meminta kepada jururawat jika ada biskut atau roti kerana anak-anak kelaparan.
“Situasi sebegini amat meruntun jiwa apabila mengingatkan pengorbanan seorang ibu. Kami para jururawat perlu juga mahir untuk mengendalikan kes-kes sebegini,” katanya di sini semalam.
Shima berkata, ada juga dalam kalangan warga emas hidup sebatang kara tiada waris di sini yang memerlukan khidmat golongan jururawat memberikan lebih perhatian kepadanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, tugas utama merawat pesakit adalah menjadi keutamaan mereka biarpun terpaksa mengorbankan masa dan tenaga demi memastikan kebajikan pesakit didahulukan.
“Pesakit terlalu ramai sehingga para jururawat dan doktor berbuka puasa minum air mineral dan makan sebiji kurma sahaja kerana menguruskan kemasukan pesakit yang ramai,” katanya.
Sempena sambutan Hari Jururawat pada hari ini, Rus Hasimah memohon semua rakyat Malaysia dapat membantu semua petugas barisan hadapan dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, duduk di rumah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, berkorbanlah untuk tidak melakukan ziarah pada hari raya Aidilfitri bagi mengelak penularan jangkitan lebih buruk.
“Kepada semua jururawat di negara ini, walaupun kes Covid-19 semakin meningkat, teruskan perjuangan kita tanpa jemu dan lelah kerana jururawat adalah nadi negara dan harapan rakyat Malaysia. Ikhlaskan hati kita kerana Allah SWT bersama-sama kita,” katanya. -UTUSAN ONLINE