Tiga polis lakukan peras ugut dikenakan tindakan mahkamah - Utusan Malaysia

Tiga polis lakukan peras ugut dikenakan tindakan mahkamah

AYOB Khan Mydin Pitchay (dua kiri) ketika mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Johor di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga anggota polis berpakaian preman yang mengugut sepasang kekasih agar tidak diambil sebarang tindakan ketika berdua-duaan di dalam sebuah kereta telah dikenakan tindakan mahkamah, hari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku di kawasan tambak, Pontian pada pukul 9 malam, 20 Mei lalu.

“Dalam kejadian tersebut, tiga anggota polis berusia antara 27 hingga 33 telah mengugut sepasang kekasih untuk memberi wang sebanyak RM5,000 jika tidak mahu diambil sebarang tindakan undang-undang dan dirujuk ke Jabatan Agama Islam.

“Disebabkan ketakutan, salah seorang mangsa telah mengeluarkan wang di bank sebelum suspek turut meminta gelang dan cincin emas mangsa wanita sebagai cagaran kerana tidak mendapat wang secukupnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, ketika tangkapan dibuat, polis turut menemukan gelang dan cincin emas yang diugut suspek daripada salah seorang mangsa kejadian.

Tambah beliau, sehubungan itu, ketiga-tiga anggota berpangkat Lans Koperal itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini untuk didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

“Ketiga-tiga tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah dan diberikan jaminan mahkamah masing-masing sebanyak RM7,000,” ujarnya.

Sementara itu, Ayob Khan turut memaklumkan sejak Januari sehingga kini, seramai 54 pegawai kanan dan pegawai rendah polis kontinjen negeri itu telah dikenakan tindakan tatatertib.

“Selain itu, lapan pegawai telah dikenakan tindakan buang kerja; 59 ditahan kerja; 14 digantung kerja dan 72 terlibat dalam perbicaraan mahkamah melibatkan beberapa kesalahan seperti jenayah, dadah, rasuah, trafik dan syariah,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya