KOTA KINABALU : Tiga anggota bomba cedera dalam operasi memadam kebakaran membabitkan 30 buah rumah atas air di Kampung Meruntum, Putatan dekat sini petang semalam.
Dalam kejadian pada 5.30 petang itu, tiga anggota tersebut terkena sambungan elektrik semasa sedang melakukan operasi memadam kebakaran.
Ini adalah kebakaran kedua di daerah ini dalam tempoh kurang daripada sebulan. Kebakaran pertama yang berlaku di Kampung Dumpil memusnahkan 17 rumah setinggan atas air pada 22 April lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Md Ali Ismail berkata, kejadian itu tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa dalam kalangan penghuni sebaliknya, ia hanya melibatkan kecederaan anggota bomba yang bertugas dalam operasi memadam kebakaran.
Kesemua anggota yang cedera itu sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) I dan HQE II untuk rawatan lanjut dan keadaan ketiga-tiga mereka stabil.
“Anggota yang mengalami kecederaan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Operasi pemadaman itu melibatkan 25 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Penampang.
Operasi pemadaman api berjaya dikawal daripada terus merebak pada 8 malam dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Seorang saksi memaklumkan kebakaran berpunca dari sebuah rumah kira-kira 5.30 petang sebelum merebak dengan pantas disebabkan pembinaan struktur rumah yang di kawasan itu terlalu rapat.
Kampung Meruntum yang mempunyai 1,795 orang penduduk sebelum ini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 13 hingga 26 April setelah wujud kluster Meruntum yang merekodkan 44 kes positif.- UTUSAN ONLINE