Tidak tahu PKP, warga emas menunggu anak, cucu pulang - Utusan Malaysia

Tidak tahu PKP, warga emas menunggu anak, cucu pulang

SALLEH Deraman yang tinggal bersendirian menunggu kepulangan anak dan cucunya tanpa mengetahui tentang larangan rentas daerah ketika ditemui di Kampung Felda Jerangau, Dungun hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seorang warga emas di Kampung Felda Jerangau di sini masih menanti kepulangan anak dan cucunya bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri esok, berikutan tidak tahu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan hari ini.

Malah, Salleh Deraman, 76, yang tinggal bersendirian setia menunggu di beranda rumah kerana anaknya yang menetap di Durian Guling, Marang sudah berjanji untuk pulang sehari sebelum Syawal.

“Semasa anak perempuan saya balik berbuka bersama beberapa minggu lalu, dia memberitahu akan beraya di sini dan biasanya balik di sebelah petang.

“Saya tidak tahu ada PKP dan larangan rentas daerah sebab tiada telefon bimbit dan jarang tengok televisyen, bukan anak-anak tidak mahu memberi gajet tetapi saya yang tidak tahu menggunakannya,” katanya ketika ditemui hari ini.

Salleh berkata, tiga lagi anaknya yang masing-masing tinggal di Pahang dan Kemaman sudah memaklumkan dari awal tidak dapat pulang beraya tahun ini.

Katanya, tahun ini merupakan kali pertama dia beraya berseorangan selepas kematian isterinya, Siti Ratikah Kassim pada Jun tahun lalu akibat sakit tua.

Datuk kepada 11 cucu dan tujuh cicit itu berkata, walaupun anaknya berkali-kali mengajak tinggal bersama, namun dia selesa menetap di rumah sendiri.

“Sepanjang hidup, ini kali pertama beraya seorang diri, tahun lepas isteri masih ada.

“Saya ada membeli ketupat, ingatkan boleh makan bersama anak dan cucu esok, rupanya mereka tidak dapat balik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya