Tidak perlu ikut SOP jika sudah vaksin sepenuhnya - CDC - Utusan Malaysia

Tidak perlu ikut SOP jika sudah vaksin sepenuhnya – CDC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Individu yang sudah divaksin sepenuhnya boleh meneruskan aktiviti harian luar dan dalam seperti biasa tanpa perlu mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Manakala mereka yang belum divaksin disarankan mendapatkan vaksin Covid-19 dan mengambil langkah pencegahan seperti memakai pelitup, penjarakan fizikal enam meter, membasuh tangan dan memakai cecair pembasmi kuman.

Berdasarkan garis panduan baharu oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), ia hanya boleh dilakukan sekiranya peraturan tersebut sudah ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan, negeri, tempatan, suku atau wilayah.

Kata kenyataan itu, secara asasnya, individu yang divaksin sepenuhnya adalah selepas dua minggu mendapatkan dua dos vaksin seperti Pfizer-BioNTech atau Moderna atau dua minggu selepas dos pertama bagi vaksin Johnson & Johnson (J&J).

“Jika anda tidak mencapai syarat-syarat ini tidak kiralah berapa umur anda, anda tidak divaksin sepenuhnya. Teruskan mengambil semua langkah berjaga-jaga sehingga anda divaksin sepenuhnya.

“Sekiranya anda mempunyai sesuatu keadaan atau mengambil ubat-ubatan yang melemahkan sistem imun anda, anda mungkin tidak dilindungi sepenuhnya walaupun sudah diberi vaksin sepenuhnya,” katanya.

Garis panduan itu menyatakan aktiviti seperti berjalan, berlari atau berbasikal bersama rakan seisi rumah, menghadiri perhimpunan kecil di luar bersama keluarga atau rakan yang sudah divaksin sepenuhnya adalah selamat.

Ini juga termasuk menghadiri perhimpunan kecil dengan orang yang sudah divaksin atau belum divaksin, makan di luar restoran dengan rakan dari pelbagai isi rumah dan menghadiri acara luar yang padat seperti persembahan secara langsung, perbarisan atau acara sukan.

Individu yang sudah divaksin juga boleh berkunjung ke kedai gunting rambut, pergi ke pusat beli belah atau muzium yang tidak sesak, menghadiri perhimpunan kecil dengan orang yang sudah divaksin atau belum divaksin, menonton wayang, hadir ke pusat ibadah dengan kapasiti penuh dan mengikuti kelas senaman atau aktiviti berintensiti tinggi.

Panduan ini juga dapat digunakan untuk vaksin Covid-19 yang telah dibenarkan untuk penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia seperti vaksin Oxford-AstraZeneca. Setakat ini, garis panduan tersebut hanya sah untuk Amerika Syarikat.

Tambah kenyataan itu, individu sudah divaksin sepenuhnya masih perlu mengikuti garis panduan ketika berada di tempat kerja dan berwaspada dengan sebarang gejala Covid-19 terutama ketika bersama seseorang yang bergejala.

“Jika anda pergi mengembara ke Amerika Syarikat, anda masih perlu mengambil langkah melindungi diri anda dan orang lain dan dikehendaki memakai pelitup muka di dalam kapal terbang, lapangan terbang, bas, stesyen keretapi dan sebarang bentuk pengangkutan awam lain yang dituju.

“Manakala pengembara antarabangsa yang tiba di negara ini dan divaksin sepenuhnya dikehendaki menjalankan ujian Covid-19 dalam masa tiga hari penerbangan (atau menunjukkan dokumen pemulihan dari Covid-19 dalam masa tiga bulan lalu dan mesti menjalankan ujian tiga hingga lima hari selepas perjalanan.

Pun begitu, kata CDC, apa yang masih dipelajari ketika ini adalah berkenaan keberkesanan vaksin melawan varian virus yang menyebabkan Covid-19.

CDC juga masih meneliti sejauh mana kemampuan vaksin untuk melindungi orang dengan sistem imun lemah termasuk mereka yang mengambil ubat imunosupresif dan berapa lama vaksin Covid-19 boleh melindungi orang.

Ubat imunosupresif adalah ubat yang berfungsi untuk menekan atau mengurangkan kekuatan sistem imun badan.

“Data awal menunjukkan vaksin mungkin berfungsi terhadap beberapa varian,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya