PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menunggu di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara, termasuklah di PPV AstraZeneca (AZ) dengan harapan untuk mendapatkan vaksin yang tidak digunakan akibat ketidakhadiran penerima vaksin berjadual di penghujung hari.
Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata, ini kerana pemberian vaksin secara ‘walk-in’ adalah tidak dibenarkan di mana-mana PPV.
Menurutnya, satu mekanisme telah dibangunkan CITF untuk menghindari pembaziran vaksin dengan memastikan proses pemberian vaksin kepada orang ramai di penghujung hari tidak mengganggu perancangan logistik di PPV.
“Ini juga bertujuan untuk mengelakkan kesesakan, terutamanya di waktu kes Covid-19 harian yang semakin meningkat.
“Secara amnya, semua PPV akan mempunyai senarai individu daripada pangkalan data yang akan mereka hubungi melalui pesanan ringkas atau telefon,” katanya dalam kenyataan hari ini.
CITF berkata, individu yang dihubungi akan ditanya sama ada mereka berminat untuk mendapatkan vaksin atau adakah mereka dapat hadir ke PPV pada hari itu juga.
Untuk PPV AZ pula, katanya, satu senarai menunggu, iaitu senarai nama mereka yang telah menempah slot menunggu sewaktu penempahan untuk suntikan vaksin AstraZeneca baru-baru ini telah digunakan sebagai asas.
“Mereka yang dipilih di bawah senarai ini akan dimaklumkan melalui notifikasi di MySejahtera, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon.
“Oleh itu, CITF ingin menggesa orang ramai agar tidak hadir di PPV tanpa sebarang urusan dan temu janji serta tidak perlu untuk berlegar atau menunggu di PPV bagi mendapatkan vaksin tanpa janji temu,” katanya. -UTUSAN ONLINE