PUTRAJAYA: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyangkal dakwaan pihak tertentu kononnya ada rakyat Malaysia yang dinafikan hak untuk mendapatkan vaksin Covid-19 di Arab Saudi.
Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, jika benar ada kes sedemikian, ia mungkin disebabkan belum mendapat panggilan atau tidak mendaftar.
“Ia di luar kenyataan yang sebenar kerana semasa saya sendiri melakukan lawatan rasmi ke negara itu bulan lalu, rakyat kita yang ditemui gembira sudah pun menerima vaksin,” jelasnya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Perkeso bagi Pegawai Masjid dan Guru Takmir secara maya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, dakwaan kononnya masih ada lagi pelajar Malaysia gagal menerima vaksin mungkin disebabkan isu pengurusan para penuntut asing di universiti terlibat.
“Saya ada menziarahi Universiti Islam Madinah, dan di situ, pihak pentadbiran menyediakan dewan khas untuk program imunisasi kepada pelajar antarabangsa yang berminat,” katanya.
Justeru ujarnya, tidak timbul isu diskriminasi kerana pihak kerajaan Arab Saudi memang mewajibkan semua penduduk termasuk warga asing divaksin tanpa dikenakan apa-apa bayaran.
Malahan katanya, Duta Malaysia, Datuk Abdul Razak Abdul Wahab memaklumkan, sambutan rakyat Malaysia di sana amat baik dan jika ada belum divaksin, ia hanya kes terpencil.
Mereka hanya perlu berdaftar diri melalui aplikasi Sehaty diuruskan Kementerian Kesihatan negara itu selaras kempen vaksinasi sejak awal Disember lalu bagi mengekang kes Covid-19.
Sehingga 26 Mei lepas, negara itu sudah berjaya melaksanakan lebih 13 juta dos menerusi 587 pusat imunisasi termasuk pandu lalu selain turut ditawarkan percuma di semua farmasi.
Ditanya mengenai kuota jemaah haji untuk Malaysia, Zulkifli berkata, kerajaan Arab Saudi belum lagi memberi jawapan secara rasmi dan ia mungkin diumumkan dalam masa terdekat.
“Saya tidak boleh lagi memberi pandangan namun saya berasa yakin, kerajaan Malaysia akan menerima makluman sebelum tempoh musim ibadah haji bermula,” tambah beliau.-UTUSAN ONLINE