Tiada bukti kewangan harta sita ada kaitan dengan wang 1MDB - Utusan Malaysia

Tiada bukti kewangan harta sita ada kaitan dengan wang 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, tiada jejak kewangan menunjukkan 263 buah beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan mewah, 27 pasang kasut dan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang disita oleh polis mempunyai kaitan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diseleweng.

Peguam Iskandar Shah Ibrahim berhujah, pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa harta-harta yang disita daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan lima individu lain dibeli hasil penyelewengan  wang 1MDB.

Mahkamah sedang mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak barangan yang disita dari kediaman bekas Perdana Menteri, isteri dan 17 pihak lain, dua tahun lalu.

Pihak pendakwaan menamakan Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak mereka iaitu Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib), Nor Ashman Razak Mohd. Najib dan Nooryana Najwa Mohd. Najib sebagai responden pertama hingga kelima.

Selain itu,  Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta; Yayasan Mustika Kasih; Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe (ibu

kepada Low Taek Jho), Roger dan isteri, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden-responden.

Menurut Iskandar Shah, hasil siasatan menunjukkan sebahagian besar beg tangan berjenama yang disita itu merupakan hadiah namun pasukan siasatan gagal mengenal pasti beg mana yang dimaksudkan.

Menurut Iskandar Shah, Datin Seri Rosmah Mansor selaku responden kedua dalam afidavit menyatakan, daripada sejumlah 263 beg, 52 beg milik beliau yang dihadiahkan oleh individu tidak dikenali dan dikenali termasuk besan beliau.

“Beliau ketika itu merupakan isteri Perdana Menteri jadi tidak pelik untuknya menerima hadiah,” ujarnya.

Peguam itu turut menyatakan, tiada  invois dan resit pembelian dikemukakan bagi membuktikan Rosmah dan anaknya Nooryana  Najwa (responden kelima) menggunakan duit daripada akaun 1MDB.

Iskandar Shah turut berhujah, Nooryana Najwa dalam afidavitnya mengaku bahawa beg-beg berjenama yang dirampas itu merupakan pemberian termasuk barang hantaran ketika bertunang selain menerima wang hantaran sebanyak RM1.9 juta.

Hujahnya, responden kelima merupakan anak orang kenamaan dan isteri seorang usahawan selain mempunyai pendapatan sendiri.

Sementara itu, seorang lagi peguam Azamuddin Abdul Aziz berhujah, afidavit Nor Ashman Razak (responden keempat) menunjukkan empat utas jam tangan milik anak guamnya tiada  kaitan dengan wang 1MDB.

Sebaliknya, menurut peguam bela, seutas jam tangan milik rakan responden keempat manakala tiga lagi adalah hadiah daripada kenalan, bukan diperolehi hasil daripada aktiviti haram seperti yang 

didakwa.

Hujah Azamuddin, sementara itu, enam jam tangan jenama Rolex yang dituntut oleh Riza Shahriz juga bukan diperolehi hasil daripada penyelewengan wang 1MDB.

Dalam pada itu, Nur Liyana M. Zapawi yang mewakili Aiman (responden kelapan) berhujah,  anak guamnya merupakan pemilik  sah kenderaan Nissan X-Trail yang disita kerana ia dibeli 

menggunakan wang sendiri. 

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 18 Jun ini. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya